Isnin, 25 Jun 2007

JEPUN PEGI...BRITISH MARI..

Kibaran Bendera Bintang Tiga

Pergi Jepun, British bertapak samula untuk memerintah Tanah Melayu. Semasa pertukaran kuasa itu Gerakan Kominis telah mengambil alih kuasa pemerintahan Tanah Melayu. Bendera Bintang Tiga kelihatan berkibar teruatama dikawasan-kawasan pendudukan China, di Pekan Hutan Melintang, di Bagan Pasir, Bagan Sungai Belukang, Bagan Sungai Tiang dan di Bagan Datoh.
Lagi penginayaan berlaku. Kominis Bintang Tiga memusuhi Jepun. Sesiapa yang diketahui telah berkerjasama dan bersubahat dengan Jepun akan dibicarakan dan dihukum saberat hukuman. Sekali lagi rakyat dalam ketakutan yang amat sangat.
Walaupun penduduk-penduduk kampong ku (terlalu daif dan telah memilih tidak menyebelahi mana-mana pihak) ia tidak pula bermakna mereka akan selamat dari cengkaman Bintang Tiga. Fitnah memfitnah semarak berlaku dikalangan penduduk. Kebangkitan kominis, menjadikan ada gulungan dan pihak yang mula mendapat kuasa samula. Mereka yang berkuasa ini menggunakan kesempatan dan kuasa ditangan mereka untuk membalas dendam, memfitnah dan beraja dimata bersultan di hati.
Menurut cerita ayahku Buang pemuda sameseng talibarut Jepun orang yang pertama ditangkap Kominis Bintang Tiga. Buang telah di berkas pada waktu maghrib di rumahnya dan dibawa pergi. Kabarnya Buang telah dibawa ke Bagan Sungai Tiang, di bicarakan dan kemundian dia di arak kehujung jambatan dan di pancung. Ada cerita mengatakan bahawa sepanjang perarakan itu, Buang telah di seksa sateruknya. Jarinya dan telinganya di kerat-kerat, matanya di congkil dan satelah dia melalui seksaan demi seksaan itu sampai sahaja kehujung jetty, kepalanya dipancung dan badannya ditolakkan kedalam kuala Sungai Bernam.
Ada juga desas desus mengatakan bahawa buang telah dibawa lari oleh sagerombolan Kominis mudek kehulu Sungai Bernam. Tapi tidak ada pula yang mengesahkan desas desus itu. Jadinya kesah yang dipercayai ramai, Buang telah dibicara, diseksa dan dibunuh oleh Kominis di Bagan Sungai Tiang.
Gerombolan Kominis Bintang Tiga yang berpusat di Bagan Sungai Tiang besar dan ramai jumlah keahliannya. Menurut ramalan penduduk semua nelayan China yang tinggal di Bagan Sungai Tiang dan bagan-bagan berhampiran adalah ahli Bintang Tiga. Cita-cita mereka untuk memperluaskan kuasa disepanjang Resab Melayu dari kampungku TanjungBayan di Hutan Melintang kepada semua kampong-kampung di tebing Sungai Bernam kepesisiran Selat Melaka hingga ke Bagan Datoh di kuala Sungai Perak.
Kampung Melayu Sungai Tiang letaknya paling hampir, terdedah pada serangan kominis Bintang Tiga itu. Pasa satiap masa penduduk-penduduk kampong berjaga-jaga diserang Bintang Tiga. Mereka senantiasa dalam ketakutan yang amat sangat.
Pada saat-saat genting bagini, timbul keperkasaan mualim tempatan. Banyak kesah menarik keperwiraan mereka diceritakan oleh ibubapaku kepada kami.
Cerita Haji Sarif, saorang mua’alim terkenal dari Kampung Sungai Lancang mempertahankan kampung mereka itu, berupa salah satu kesah keperwiraan Melayu yang diceritakan itu. Satiap malam dia akan memimpin jemaahnya ratib bergerak dari masjid hingga ke sempadan kawasan Bagan Sungai Tiang. Kesah bagaimana beliau mengetuai penduduk kampong bertahan dipintu masuk kekampung-kampung mereka berbekalkan ketakwaan kepada Allah, dengan keyakinan diri dan curahan air “surah yassin” dipersimpangan jalan pintu masuk itu, hingga sekarang (abad ke-21) masih diceritakan oleh penduduk tempatan. Menurut kesahnya, dengan perlindungan Allah jua, hasil kesan amalan ratib dan barkat air "surah yassin" telah menakutkan dan memesongkan niat jahat Kominis Bintang Tiga itu. Apabila saja gerombolan kominis Bintang Tiga dengan bersenjatakan lembing dan pedang sampai di persempadan pintu masuk kekampung-kampung Melayu itu, mereka akan tenggelam punca. Semua mereka akan menirap diatas permukaan jalan melakukan gerakan berenang, saolah mereka sedang menyeberangi terusan yang luas. Jika adapun yang terlepas mereka tidak berjaya menumpaskan bentang pertahanan yang diketuai Haji Sharif itu.
Bagitulah kesah keperwiraan Haji Sharif yang diceritakan dari mulut kemulut. Aruah keluargaku rasa amat bangga pada kealiman Haji Sarif, kerana kebetulannya mualim itu adalah bapa saudara sepupu ibuku sendiri.


“Kilang Tebu Pak Andak”

Apabila kerajaan British Malaya memerintah samula, penduduk kampungku rasakan kebebasan telah benar-benar wujud. Mereka bersembahyang hajat dan berdoa kebebasan itu akan kekal sampai bila-bila. Haji Saed jiran terdekat kami sepakat dengan ayahku mengetuai orang kampong mendirikan 'kilang' memerah tebu untuk dijadikan gula. Kawasan tanah dihujung plot Kebun Baruh ayahku telah disetujui untuk ditempatkan projek itu. Kedudukannya pada persimpangan jalan besar dan jalan kampong Parti 23 itu didapati sangat sesuai bagi tujuan itu. Penduduk kampong boleh menggunakan alat pemerah itu secara percuma. Kilang pemerah tebu itu hanyalah sajenis peralatan yang diperbuat dari kayu secara ketukangan tradisional. Dengan terdirinya alat pemerah tebu itu, kawasa persimpangan jalan itu jadi tarikan ramai penduduk.
Pada satiap petang ramai yang datang menggunakan alat pemerah tebu itu, termasuk penduduk kampong-kampung berhampiran. Mereka menggelarnya Kilang Tebu Pak Andak, satu penghormatan kepada usaha bapaku itu.
Jadinya pada satiap petang aku tidak mau lepas peluang membontot ayahku untuk lepak ditempat pemerahan itu. Sategok dua air tebu yang baru diperah, bisasanya diagihkan kepada yang berada disitu oleh siapa sahaja yang menggunakan alat pemerah itu. Haji Saed dan ayahku orang yang paling gembira akan kejayaan projek mereka itu. Walaupun penggunaanya secara percuma, dengan adanya alat pemerah itu penduduk kampungku telah mula berani keluar dari persembunyian mereka dan tidak ragu-ragu bersosial samula.
Pendudukan Jepun yang berlangsung selama hampir 5 tahun dan diikuti dengan kekejaman Kominis Bintang Tiga menyebabkan penduduk kampungku menghadapi teruma rasa takut yang berpanjangan. Rasa syak wasangka antara jiran tetangga, kuathir pada keselamatan diri dan keluarga masing-masing menyebabkan mereka suka bersendiri-sendiri, dan hidup berpuak-puak samula. Mereka jarang sekali bergaul dengan yang bukan dari kalangan keluarga yang terdekat.
Penduduk kampungku rata-rata terdiri dari etnik Melayu, Bugis, Mendeling, Banjar dan Jawa. Mereka rasa lebih selamat dan senang berada ditengah kalangan mereka sendiri dari bercampur dengan etnik lain yang dianggap sebagai orang luar, walaupun sabelumnya mereka adalah jiran sekampung yang akrab. Yang menyatukan mereka cuma agama Islam semata-mata. Mereka bersatu ketika bersolat jemaah dimasjid atau disurau-surau. Lepas sembahyang masing-masing ikut haluan sendiri Berkumpul ramai diluar dari waktu sembahyang di masjid atau di surau-surau, dianggap bersekongkodan bersubahat. Bersimbang lama di warung kopi boleh dianggap menanggotai kumpulan-kumpulan tertentu dan akan difitnahkan.

Kini British telah memerintah Tanah Melayu. Kerajaan British Malaya juga telah meletakkan Sultan yang mutlak ditakhta mereka samula.

Haji Saed dan ayahku sepakat untuk membebaskan diri dari dikongkong rasa takut itu. Kedatangan Kerajaan British Malaya, bagi mereka pertanda keamanan serantau akan kekal samula. Mereka bersiap sedia mengorak langkah untuk majudiri. Haji Saed dan ayahku masing-masing ambil keputusan mengusahakan pengeluaran copra. Larutan dari Peperangan Dunia Ke-2, telah melonjakkan harga copra (dan juga harge getah) dipasaran. Haji Saed telah awal-awal mendirikan salai kelapanya pada tanah keluarganya di Parit 23. Kerana tidak mau bersaig dengan jiran dan sahabat karibnya itu, ayahku ambil keputusan menyewa sabidang tanah di Parit 21 (Jalan Tengah) kira-kira satu satengah batu dari kediaman kami untuk mendirikan rumah Salai Kelapa bagi pengeluaran copranya. Kerana itu, pada satiap malam ayahku atau pembantunya terpaksa bermalam disalai kelapa itu. Pada banyak ketika aku ikut serta.
Di tempat baru ini, aku mula punya ramai kawan. Salai Kelapa ayahku itu letaknya hampir dengan sabuah surau. Dan pada satiap waktu maghrib hingga isha surau itu jadi tumpuan ramai menjalankan pelbagai aktibiti keagamaan. Bagi kami yang masih dalam lengkongan kanak-kanak, bermain ‘perang-perang’ (askar Jepun lawan askar Amerika) di kawasan halaman surau itu waktu orang-orang dewasa beribadah menjadi satu keseronokan, serta membuatkan kami rasa punya kebebasan diri yang paling bermakna. Di samping main perang-perang, kami juga main galah panjang. Biasanya permainan galah panjang ini, akan diikuti oleh mereka yang berumor dari kami.
Kawan-kawanku bertambah bilangannya. Aku tidak lagi dibawah kongkongan keluargaku, 'bermain pondok' dengan sepupu-sepupuku dikawasan rumah kami sahaja. Kini kawan-kawanku itu kebanyakkannya dari etnik Jawa dan Banjar.
Jadinya, dimana saja kami berkumpulan, riang ria suara kanan-kanak kampungku memecahkan kesyunyian, yang selama ini telah merundung satiap penghuni kampong itu.
Orang-orang muda kampungku pula mula giat membuka gelanggang silat dan menubuhkan pasukan kompang. Mereka juga, membuka padang permainan, saperti gelanggang sepakraga bulat dan padang bola. Padang bola pertama kampungku diusahakan ditengah-tengah deretan kebun kelapa. Tiang gol di perbuat dari batang pinang atau buluh galah.
Bermain bola ditengah-tengah kebun kelapa banyak halangannya. Kadangkala bola yang disepak terkena batang kelapa dan melanton masuk goal. Bagi pasukan yang menang, ianya satu keajiban yang memehak mereka, hinggakan mereka sanggup bertegang leher, permainan diberhentikan kerana kemasukan gol secara tidak sengaja itu, tetap tidak akan diterima oleh pasukan yang tewas.
Pun bagitu setiakawan antara penduduk-penduduk kampong ku tidak terjejas, malah persahabatan mereka tambah kental dan sebati. Kepentingan etnik mula diketepikan. Tiang agama di perkukuhkan, dan memperkukuhkan lagi kesebatian antara mereka itu.
Saperti selalu disebut ayahku kemundiannya: kilang pemerah tebu di Kebun Baruh Parit 23 itu telah berjaya memulihkan semangat dan kesatuan penduduk Tanjung Bayan, yang tercemar kerana kedudukan Tentera Jepun dan Keganasan Bintang Tiga. Dia sangat bersyukur kerana itu.

JEPUN MENYERAH KALAH


Pengebuman Hiroshima dan Nagasaki telah menundukkan kekuasaan Jepun dalam Peperangan Dunia Ke2. Di Asia Pasifik pertanda kekalahan Jepun mula dialukan penduduk. Berita tamatnya Peperangan Dunia Ke2 juga telah disambut dengan penoh kesyukuran oleh penduduk kampungku. Masing-masing rindukan kedamaian. Dan kini kedamaian itu telah mula menunjukkan mukanya.

Sawah kami di Kebun Baruh kini sedia untuk diusahakan secara bersungguh samula. Plot sawah itu telah tidak dapat dikerjakan sapenoh, kerana takutkan Jepun. Pada banyak ketika askar Jepun datang berkawal dikawasan Kebun Baruh. Terdapat kubu-kubu didirikan jarak satengah batu disatiap persimpangan jalan masuk kampong, dari Parit No:26 di pinggir Pekan Hutan Melintang hingga ke Parit No: 1 di Bagan Pasir jarak perjalanan hampir 7 batu jauhnya. Kubu-kubu itu didirikan pada penjuru tanah bersententangan persimpang jalan masuk itu.
Tanah Sawah di Kebun Baruh milik ayahku letaknya berdepanan dengan jalan masuk Parit No 23 Selalu terdapat askar Jepun datang memereksa kubu mereka disitu, walaupun menurut ayahku sepanjang pendudukan Jepun kubu itu tidak pernah digunakan.
Ayahku berpendapat rangkaian kubu-kubu itu disediakan sebagai langkah pertahanan dari kemaraan musuh yang menyerang mereka. Menurut ayahku kedudukan kubu itu telah lama dirancang Jepun. Malah kedudukan tiap satunya telah dirancang dan ditentukan sabelum masa pendudukan Jepun lagi.

Pada pengamatan ayahku, satu ketika dahulu terdapat sorang asing datang dari bandar dengan di temani saorang pemuda Banjar bernama Buang. Mereka berbasikal ikut perbatasan jalan di Kebun Baruh. Sesampainya mereka di persimpangan jalan masuk kampung Parit 23 kelihatan orang asing itu bersungguh memeta dan mengambil gambar kawasan tanah resab pada hujung plot kebun kelapa keluarga Haji Saed. Pada ketika itu ayahku sedang berada di plot sawahnya di Kebun Baruh. Ayahku cuma memerhatikan mereka dari jauh. Tidak mau ambil kesah, kuathir akan di kasari Buang. Ayahku mengenali Buang sebagai saorang sameseng jalanan di Pekan Hutan Melintang Pada pendapat ayahku Buang dan orang asing itu sedang merancang sesuatu yang dia sendiri tidak dapat pastikan.

Jadi apabila Jepun mula menduduki Tanah Melayu, dan apabila terdapat askar Jepun membawa beberapa orang buruh India mendirikan kubu disitu, baru ayahku yakin bahawa telahannya dulu itu benar.

Kerana kedudukan Kubu Jepun itu letaknya betul-betul berhadapan plot di Kebun Baruh ayahku itu, dia samasekali tidak membenarkan ibu dan keluarga perempuannya turun kesawah tanpa ditemani. Ayahku kuathir mereka akan terserempak dan diapa-apakan oleh askar Jepun. Hanya ayahku dan penduduk-penduduk kampong sahaja secara ‘upah seraya’ mengerjakan plot sawah mereka secara bergilir. Pada ketika-ketika sesuai sahaja, ibuku dibenarkan turun kesawah, itupun dikawal ketat oleh ayahku. Kami hanya dibenarkan berada dipondok ladang yang didirikan khas, dihujung plot ditepi ban yang memisahkan Kebun Baruh dengan hutan piai dan langgadai. Jika ada tentera Jepun merayau masuk ketanah mereka, kami akan bersembunyi dalam kawasan hutan piai itu, saterusnya lari masuk hutan lengadai kearah pengkalan perahu di tebing Sungai Bernam.

Kini apabila pasti dan nyata Jepun telah menyerah kalah, masing-masing penduduk kampungku, mula teruja untuk menguruskan plot-plot tanah yang meraka teruka di Kebun Baruh itu. Tambah lagi bagi ayahku. Tanah sawah dan kebun sayur di Kebun Baruh itu sangat bermakna baginya. Lebih-lebih lagi, bersempadanan dengan plot kepunyaan kami terdapat juga plot-plot yang sama besarnya dimiliki 5 adek beradik perempuannya. Kesemua kawasan yang diteroka luasnya 1 ekar satengah, dibahagi kepada 6 lot, untuk teroka secara TOL masa Kerajaan British Melaya dulu itu. Ayahku kuathir jika tidak diusahakan semula, kemunkinan plot-plot tanah itu akan dimiliki oleh orang lain pula.

Luka ditangan nampak berdarah....



“Luka di tangan nampak berdarah,
luka dihati siapakan tau”

Satu pagi ibuku bercadang untuk kekebun Baruh bersamaku. Kematian Saharuddin enam bulan sabelumnya kerana demam panas menyebabkan keluargaku sangat tertekan. Mereka kini tinggal dua orang anak sahaja lagi: Salmah kakakku dan aku, yang mencecah umor 4 tahun. Kematian aruah Saharuddin dan Mohammad telah menyebabkan ibubapaku sangat berhati-hati tentang keselamatan kami. Kakakku pula senantiasa dijagai oleh sepupu-sepupunya yang lebih tua dirumah Mak Alang. Samenjak pendudukan Jepun, rumah Mak Alang telah dijadikan tempat berselindung oleh keluarga kami. Rumah Mak Alang letak dikawasan paling belakang Lot Tanah 2 Baris, plot pusaka aruah datukku itu.
Ayahku telah lebih awal turun kesawah. Cadangnya pagi itu kami akan sarapan bersama dipondok sawah. Ibuku telah sediakan nasi dibungkus dengan upeh pinang berlaukkan ikan kering, kopi satu cerek dan air suam satu botol. Semua telah dimuatkan didalam raga buluh yang di anyam sendiri. Ibuku mahir kerja tangan anyam menganyam. Untuk turun sawah pagi itu, ibuku juga telah sedia dengan terendak baru yang diperbuat dari mengkuang.
Aku sangat teruja untuk ikut ibuku pagi itu. Ketika padi sedang menguning dan batas padi telah kering dari takungan air, berlari-lari dicelah-celah deretan pokok padi sangat menyeronokkan. Burung Cak Uban, Burung Puyuh paling banyak berkeliaran ditengah batas padi itu. Mengejar burung-burung puyuh diantara petak sawah padi itu, member ruang untuk aku meneroka jauh kekawasan tengah sawah. Pada banyak ketika aku terjumpa burung-burung puyuh dan Wak-Wak terperangkap dalam jerat yang dipasang ayahku. Selalunya aku akan melaung memanggil ibu atau ayahku menyatakan penemuan aku itu. Kesakian kali aku keladang sawah itu, menjadikan aku mahir dan cergas berlari antara baris dan batas padi itu. Kecergasan dan kenakalan aku itu menyakinkan keluargaku aku kanak-kanak sihat.Tidak saperti Saharuddin dan Mohammad.
Sedang kami menyeberangi titian kayu untuk kejalan besar ibuku telah terserempat dengan saorang askar Jepun yang sedang berbasikal dari arah darat menuju kebaruh. Ibuku terkejut. Kaku ditempat dia berdiri itu beberapa ketika. Kemundian menyedari keselamatan kami waktu itu, ibuku cepat-cepat menarik tangan kiriku dan kami melompat kadalam belukar pokok renek di saberang jalan.
Waktu itu pada pergelangan tangan kiriku ada kesan melecur akibah titisan panas larutan getah ‘scrap’ dari unggun api, bahana kenakalanku menganggu ibuku memasak didapor beberapa hari sabelum itu. Aku rasa amat sakit dan menjerit sekuat hatiku. Ibu melepaskan tanganku, sepantas kilat menutup mulutku sakuatnya dan mengheret aku bersembunyi disebalik sebatang banir. Aku terkial-kial kesakitan yang amat sangat. Pergelangan tanganku berdarah. Ibu menangis, teresak-esak takut dan sedih. Badannya mengigil dan dia memeluk aku erat.
Pada waktu itu askar Jepun yang berbasikal itu melintasi kami. Nasib kami baik, kerana askar itu tidak perasan akan kami itu. Malam itu ayahku adakan kenduri doa selamat untuk kami.
Menurut penduduk kampungku, satelah menyerah kalah askar–askar Jepun itu mengambil masa untuk berundur. Kekalahan telah mengakibatkan mereka malu dan rasa kekeciwaan yang amat sangat. Ada yang membunuh diri dengan melakukan ‘harakiri’. Ada yang berlagak bengung, malu pada diri sendiri dan malu untuk menentang muka penduduk yang mereka jajahi.
Apapun andaian penduduk kampong, bagiku akibah peristiwa itu telah meninggalkan kesan parut luka pada pergelangan tangan kiriku sahingga hari ini.

Rabu, 20 Jun 2007

"Luka Dihati Siapakan Tau"







Penderitaan rakyat jelata dibawah pemerintahan Tentera Imperial Jepun telah meninggalkan pelbagai teruma mental dan kecacatan fisikal. Bagi yang malang didera Jepun, pengalaman dan keseksaan dibelasah, ditendang terajang, didera dengan pelbagai cara keseksaan tetap akan dikenang sahingga akhir hayat mereka. Bagi yang telah terhindar dari di dera, kegetiran hidup, ketakutan akan keselamatan diri dan keluarga yang tidak menentu, telah meninggalkan pelbagai bentuk teruma mental. Peperangan tidak mengenal usia mangsanya. Yang tua, yang muda, kanak-kanak atau bayi, lelaki dan perempuan, yang sihat dan yang mudarat akan jadi sasaran bencana perang.

Aku bersyukur kehadrath Allah, walaupun dilahirkan dan membesar ditengah gelodak keganasan Pemerintahan Jepun, akibah dari azab sangsara kekalutan itu tidak meninggalkan kesan mental yang terbawa hingga kezaman dewasaku.
Tapi walaupun aku terselamat dari malapetaka itu, secara tidak langsung kepayahan hidup yang yang melanda keluargaku telah meninggalkan kesan parut luka secara fisikal pada tubuh badanku.

Terdapat hingga kehari ini satu parut sabesar siling 50 sen dibahagian pinggang sabelah belakangku. Satu lagi sabesar siling 10 sen dipergelangan tangan kiriku. Aku tidak ingat bagaimana ia berlaku. Menurut ibu dan kakak ku parut luka di pinggangku itu, kerana dilecuri api dari tongkol jagung terbakar semasa usiaku belumpun cukup setahun.
Parut luka sabesar siling 10 sen dipergelangan tangan kiriku, disebabkan titisan getah terbakar yang tidak sengaja menitik dari kayu api terbakar diatas dapor dan mengenai pergelangan tanganku. Peristiwa kedua ini berlaku pada ketika Jepun menyerah kalah dalam tahun 1945, ketika umurku sudah 4 tahun.

Masa pemerintahan Jepun segalanya dalam serba kepayahan. Keluargaku telah meneroka tanah sawah. Sawah padi kurang menjadi, kerana kekurangan air dan jika menjadipun akan menghadapi ancaman Sang Menti dan Pipit Kepalka Puteh. Dari ketika semai padi dipindahkan kedalam sawah, membesar hingga mengeluarkan bunga, penjagaan yang rapi diperlukan. Tidak ada racun serangga yang dapat dugunakan. Menjadi atau tidaknya sawah mereka terpulang kepada nasib.

Ketika tanaman padi sedang membunga dan kemundian berbuah Sang Menti adalah musuh utama yang akan merosakkan sawah. Dan apabila buah padi membesar dan sementara menunggu ia masak sawah akan menjadi medan pada kedatangan Pipit Kepala Uban.
Patung Orang-Orang dan tin kosong yang disangkutkan pada tali apabila ditarik akan mengeluarkan bunyi, berjaya menakutkan Burung Pipit Kepala Uban.
Di samping bersawah padi, keluargaku juga menanam jagung, sayur-sayuran dan ubikayu. Paling kurang jika padi tidak menjadi, atau sawah di rosakkan Sang Menti atau Buah Padi habis dimakan burung Pipit Kepala Uban, tanaman jagung dan ubikayu akan dapat menempung keperluan dari ladang.

1. Parut Di Pinggang Belakang
Hari itu bapaku membawa balik satu bakul besar jagung yang baru dipetik dari Kebun Baruh. Petang itu ibuku membakar beberapa tongkol jagung untuk mengalas perut.
Petang itu abangku Saharuddin menangis dan memerintah tidak menentu itu, menganggu ibuku didapor. Telah berminggu Saharuddin berperangai bagitu. Saharuddin baru berumur 4 tahun dan selalu tidak sehat.

Menurut cerita ibuku, ketika itu umurku belumpun genap setahun, masih sedang belajar menirap. Kakakku Salmah ditugaskan telah ditugaskan ibu untuk menjaga aku sementara ibuku menguruskan tongkol-tongkol jagung yang sedang dibakar diatas bara api didapor itu.
Saharuddin sedang bergayut disisi ibuku membentak-bentak dan meronta-ronta meminta jagung yang sedang dibakar itu. Dia bagaikan sudah tidak sabar untuk memamah jagung itu, walaupun ibuku berusaha menyabarkannya. Lagi dipujuk, lagi Saharuddin membentak dan tidak tanah menanggung sabar.

Pada banyak ketika, sambil bergayut disisi ibuku ditepi dapur itu, tangan kanan saharuddin liar mencapai tongkol-tongkol jagung diatas dapor itu. Akhirnya dia berjaya menarik satu tongkol yang sedang terbakar. Ibuku cuba merampas dari tangannya, Saharuddin pula menarik kuat tongkol jagung itu. Tongkol jagung yang sedang terbakar itu (menurut ceritanya) terjatuh diatas pinggangku yang sedang belajar menirap itu.

Menurut ceritanya, aku memekik sekuatnya. Pekikanku yang kuat dan gamat itu menyebabkan Ibuku terkejut. Ibuku hilang sabar tangannya pantas menampar kuat punggung Saharuddin, kemundian tanpa bersebab ibuku mencubit kakakku pula. Dia membentak-bentak memarahi kakakku tidak pandai menjaga adik. Dalam kekalutan itu ibuku lupa, yang malang itu aku - bayi kecil yang sedang belajar menirap. Aku yang menderita itu. Kulit pinggang belakangku sedang dibakar api.

Ayahku yang sedang mandi diperigi, bergegas naik. Dia sempat selamatkan aku dari derita yang aku tanggung itu.

Menurut ceritanya, malam itu ramai keluarga ku datang bertandang. Ayah dan ibuku paling sedih, kuathir akan kehilangan aku. Kesan tanda melecur, jelas kelihatan dipinggang belakangku itu, cuba disejukkan dengan air campuran larutan asam jawa dan garam.

Isnin, 11 Jun 2007

Sebermula....April 1941
WW2 Di Asia Pasific


Tarikh 4 April 1941 - Aku pilih untuk mulakan naratif ini. Hari itu tanggal 4 April saorang bayi lelaki telah dilahirkan di Tanjung Bayan. Malang sekali kelahiran bayi lelaki itu tidak sempurna, kerana terdapat masaalah 'tersangkut uri'. 2 hari 1 malam Emak bertarung nyawa melahirkan Aku. Maka itu bulan April tetap menguja keperhatinanku mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan Emak.  Bulan April, berupa bulan istemewa bagiku. 


Sebagai rekod tidak banyak yang boleh ku catat untuk tarikh 4 haribulan April 1941 yang Aku pilih ini; selain dari sekelumit data berkenaan diriku, keluarga ku dan nama kampung kelahiranku. Pun bagitu tarikh ini berupa titik permulaan pada pengkesahan babad[1] diriku. Sah tercatat pada sijil kelahiranku bahawa Aku di lahirkan dalam tahun 1941 pada 4hb.April di Kampung Tanjung Bayan. Nama ibuku Jariah binti Haji Ali. Nama bapaku Abas bin Mohammad Amin. 


Aku anak yang ke-empat pada keluarga yang serba sederhana ini. Emak keturunan Bugis. Dia anak tunggal dari salah saorang dari 4 isteri datuk ku Haji Ali. Menurut ceritanya, Emak dibesarkan piatu. Ibunya telah meninggal dunia semasa melahirkan Emak. Saterusnya Emak telah dipelihara oleh ibu saudaranya bernama Zaharah -saorang ibu tunggal di Kunci Air Mati, Kampung Sungai Lancang. Letaknya dalam kawasan lidah tanah Rezab Melayu dipersisiran Selat Melaka antara kuala Sungai Bernam dan Sungai Perak. 


Aku tidak bagitu pasti keturunan bapaku. Melalui penyelidikan yang tidak seberapa aku yakin keluarga ayahku keturunan Rawa di sabelah ibunya dan Riau di sabelah bapanya.


Aku lahir ditengah bahang gelodak Peperangan Dunia Ke-2 yang sedang mengarah ke Asia Pasifik. Kakakku yang sulung, perempuan. Namanya Salmah. Abangku, anak kedua namanya Saharuddin. Anak ketiga Mohammad. Mohammad telah meninggal dunia semasa bayi. Menurut ibuku Mohammad saorang bayi yang berpenyakit, ketika dilahirkan. Tidak pula diketahui jenis penyakit menyebabkan Mohammad meninggal dunia ketika masih bayi itu.


Masyarakat kampungku terdiri dari gulungan manusia yang terlalu daif dalam serba bidang pengetahuan. Mereka terhimpit menderita kerana kemiskinan dan kepayahan hidup zaman meleset untuk menyara diri dan keluarga. Penduduk kampungku rata-rata, buta huruf. Jikapun ada yang tau membaca atau menulis saperti Emak dan Bapak, mereka telah belajar cara sendiri-sendiri. Mereka tidak pernah bersekolah secara formal, kerana institusi sekolah tidak wujud dikebanyakkan kampong Melayu waktu itu. Jika pun ada, sekolah-sekolah itu didirikan oleh rakyat dengan harapan mengupah guru yang layak dan sanggup mengajar anak-anak mereka. Selalunya percubaan untuk mengenalpasti guru dikalangan penduduk tempatan tidak kesampaian. Akibahnya semangat untuk kampung mereka mempunyai Sekolah Rakyat sendiri terbantut - patah ditengah jalan. Jika adapun Sekolah-sekolah rakyat yang berjaya ditubuhkan ia hanya mampu mendidik murid-muridnya membaca dan menulis oleh guru-guru sambilan secara ‘upah seraya’[2] semata-mata.


Terdapat pula Sekolah Agama Rakyat di satengah negeri di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Pondok atau Madarsah, dikendalikan oleh Guru Ugama/Mualim yang terkenal dan beberapa Ustaz Pelatih. Institusi Pendidikan Sekolah Pondok saumpama ini terdapat di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kebolehan membaca Al’Quran, pengetahuan ilmu asas agama, mahir membaca dan menulis jawi berupa pembelajaran di Sekolah Pondok. Di Sekolah Rakyat biasa, pembelajaran tertumpu pada kemahiran menulis dan membaca rumi/ Roman dan Ilmu Kira-kira. Kerana institusi Sekolah Rakyat atau Sekolah Pondok tidak banyak di kawasan Rezab Melayu itu dan merantau kenegeri yang jauh belajar di Sekolah Pondok, diluar dari keupayaan kebanyakkan keluarga kampungku, tidak heran jika rata-rata penduduk kampungku terdiri dari masyarakat buta huruf, miskin dan daif.


+++++


Emak yakin berpendapat bahawa bayi mereka Mohammad mati kerana sawan, tapi Bapak berpendapat Mohammad meninggal dunia disebabkan kemiskinan mereka.Kata Bapak, kemiskinan yang telah menyebabkan Emak mengandong bayi yang tidak subur.


Bidan Meriam mengakui pendapat Bapak. Katanya bayi itu didapati lemah semasa didalam kandungan lagi. Bidan Meriam telah perasan itu ketika dia melakukan upecara Lenggang Perut dan ketika beliau membetulkan kedudukan bayi dalam rahim ketika Emak sedang mengandung 6 bulan. 


Bidan Meriam mempunyai pendapat lain yang bersifat kebatinan. Bidan Meriam cuba menyakinkan keluargaku, bahawa selamanya tubuh Emak sedang cuba didampangi oleh semangat Saka[3] keturunan leluhur daripada sabelah ibunya. Emak adalah pewaris tubuh induk semangat saka aruah ibunya, dan jika tidak diterima dan dijaga sebaiknya Sang Saka akan merasuk induknya. Apabila dan jika itu berlaku, sangat sukar untuk dipulihkan. Nasihat Bidan Meriam. setuju atau tidak kerasukan Sang Saka itu perlu diterima oleh Emak.


Untuk selamat mesti diadakan Acara Puja[4] pada tiap kali Emak mengandung. Boleh disamakan dengan Upecara Lenggang Perut. Sebaiknya dimalan bulan Purnama, semasa air pasang penuh. Ritual itu perlu dilakukan dengan cara dan persediaan yang sangat rapi. Bermula dengan tubuh Emak dilangir dan dibersihkan. Dialin dengan lilin yang dihasil dari campuran sarang lebah, diolek dan dirimbas dengan bunga mayang mengurai, diperasap dengan membakar dupa - kemian atau stanggi, diringi dengan bacaan mentera. Saterusnya Emak dijamu daging Ayam Selasih[i][5], pulut kuning, pisang dan bertih. Kemundian sebahgian daging panggang ayam selasih itu bersama sabungkus pulut kuning, beras bertih, sireh pinang, dan pisang masak ranum akan dimuatkan kedalam Limas[6], bentuk timba atau takir diperbuat dari upeh pinang. Limas itu hendaklah dilepaskan sungai ketika ‘air pasang penuh’ sedang mula bergerak surut dalam cahaya purnama 15. Siang esoknya Emak dan keluarga saisi rumah disyaratkan berpantang dengan mengurung diri. Tidak boleh dilawati atau berhubung dengan orang luar sahingga matahari tinggi segalah dan embun kering dibumi. Sakiranya syarat pantang itu dilanggar, upecara yang sama perlu diadakan samula, pada bulan purnama yang akan datang.’


Tradisi Puja adalah amalan kuno yang lumrah dilakukan pelbagai etnik kaum, warisan bangsaku dari gugusan kepulauan Nusantara.

Anak lelaki tertua dalam keluarga leluhur[7] menurut adat warisannya, dia dikenali sebagai Waris Ahli pewaris Saka Baka - kedudukan pangkat tertinggi dalam keluarga itu. Ia berupa warisan dari cantuman semangat pihak ibu dan pihak bapa. Keris atau senjata puaska keturunan berupa peralatan keluarga yang akan diturunkan secara beradat kepada penerima anak lelaki, apabila dia akhir baligh. Anak perempuan sulung pula diiktiraf sebagai bakal induk mewarisi saka leluhur keturunan sabelah emak. Biasanya di turunkan dengan melakukan Puja di satu upecara Lenggang Perut apabila dia mengandungkan anak sulung, dan jika ini tidak dilakukan semangat saka itu akan merasuk tubuh induk barunya secara paksa, salepas kematian pewaris terakhir. Induk barunya itu perlu menerima dan saterusnya menyara semangat saka itu melalui pelbagai tuntutan upecara pulih semangat yang ditentukan, biasanya oleh para Bomoh atau Tok Pawang. Jika engkar melakukannya, semangat saka itu akan bertindak menyakat dengan mengusik mangsanya supaya jadi takut, menghidapi tekanan emosi, menangis tidak menentu, kesihatan yang terganggu dan sebagainya. Kakakku Salmah adalah anak perempuan sulung keluargaku. Emak juga anak tunggal dan anak perempuan sulung keluarganya. Sewajarnya Emak mewarisi semangat saka leluhur daripada sebelah emaknya. Wajarlah jika kakakku Salmah, pewaris bakal tubuh induk untuk diganding turunan saka keturunan Emak.


Menurut ceritanya, keluargaku sedia maklum akan tuntutan itu, tapi sengaja tidak dilakukan. Mereka berpendapat segala itu sebagai tahyul dan karut marut. Upecara Puja dan Lenggang Perut adalah amalan dari pengaruh budaya Hindu. Islam tidak mengalakkan melakukan upecara yang bersifat tahyul dan kurafat.


Lagipun menurut mereka ketika Salmah dalam kandungan, kesempitan hidup keluargaku, tidak memampukan dilaksana tuntutan Puja dan Lenggang Perut waktu itu. Terlalu banyak syarat dan kerenah pantang larang dan yang mesti dipatuhi, sabelum, semasa dan salepas Upecara Puja dan Lenggang Perut dilaksanakan.


Kebersihan, ketertipan, ketulinan semua peralatan yang digunakan, berupa tuntutan syarat yang sangat remeh. Umpamanya ayam Selasih, samestinya ayam dara. Di pelihara sebaiknya sabelum disembelih. Hendaklah dikurung dalam reban berasingan, diberi makanan beras dan jagung, diberi minum air suling, dan dimandikan satiap hari sakurangnya satu purnama sabelumnya. Bulunya mesti hitam pekat, tidak dicampuri walaupun secalit warna lain. Kulit dan daging termasuk kuku, paruh, rahang dan lidah semuanya mesti berwarna hitam. Sesikat pisang emas yang mestikan dari tandan yang masak dipokok, dan tidak disisa burung, tupai, musang atau haiwan lain. Persediaan makanan dan peralatan mesti bersih, dan patuh pada pantang larang. Bagitu saterusnya dengan segala persembahan, mesti hinder dari sebarang kekotoran, bekas sisi manusia atau haiwan dan pencemaran.


Kuching peliharaan dan kanak-kanak kecil hendaklah dipindahkan ketempat lain, kuathir akan menlanggar pantang. Sepanjang upecara dilakukan hanya keluarga yang terdekat sahaja dibenarkan hadhir, kecuali Bomoh dan saorang pembantunya. Upacara Puja dan Lenggang Perut dilakukan oleh Mak Bidan juga saorang Bomoh.


Menurut Bapak, ketika Emak mengandungkan Salmah telah tidak diadakan Puja dan Lenggang Perut tetapi isterinya telah selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat. 


Hujjah mereka pula, munkin ada sebab tersembunyi sakatan Sang Saka tidak berlaku kepada ibuku dan bayi yang dilahirkannya. Mereka beri alasan Salmah anak sulung perempuan. Salmah adalah bakal pewaris sebagai tubuh induk saka leluhur Emak. Kelahiran Salmah munkin dialukan. Saperti Emak, Salmah anak perempuan sulung. Dialah induk penganti saka Emak kelak. Mereka berkali-kali bertegas untuk kelahiran saterusnya Emak mesti melalui Upecara Puja dan Lenggang Perut. Mereka beri amaran, jika tuntutan Sang Saka tidak diikuti sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada ibu atau bayi yang akan dilahirkan. Pun keluargaku tetap berkeras, dan mau melupakan tradisi warisan itu. Nasihat dan amaran Pawang dan Bomoh itu telah dilupakan bagitu saja.


Malang sekali, lumrah bagi keluargaku dan penduduk kampungku, selalu tenggelam punca apabila berhadapan situasi genting dan yang mencemaskan yang membabitkan Pawang atau Bomoh mengadakan pemujaan yang mereka angap sebagai perkara tahyul itu. Tapi dek kerana jahil dan mundur mereka juga tidak dapat mengesahkan jenis penyakit yang menyebabkan kematian Mohammad itu ‘secara klinikal’, selain dari terpaksa akur pada pendapat dan kahendak Tok Pawang dan Bomoh, kerana pada zaman itu tidak ada doctor yang boleh dirujuk. Soalnya bolehkah keluargaku bertahan dengan terus berdegil mengenepikan desakan Tok Pawang dan Bomoh berhubungan tuntutan adat pusaka yang karut marut itu.


Di zaman meleset rakyat dibendung kemunduran. Kematian bayi yang baru dilahirkan selalunya di kaitkan dengan perkara-perkara tahyul. Bagitu pula dengan kematian ibu semasa bersalin. Kesah hantu Langsuir senantiasa dahagakan darah ibu yang melahirkan anak, atau hantu Polong terbang diwaktu malam mencari mangsa sengaja diada-adakan sebagai kisah ngeri yang menakutkan ramai. Cerita bagini senang di sebarkan oleh Tok Pawang dan Bomoh. Penduduk akan percaya percaya pada cerita hantu dan jembalangan meliar disekeliling kampong mereka pada waktu malam mencari mangsa itu. Purata penduduk kampong akur fungsi pada fungsi Tok Pawang, Bomoh dan Mak Bidan sebagai perantara antara jin dan manusia pada segala masaalah kesihatan keluarga.


Abangku Saharuddin, walaupun selamat dilahirkan didapati mengidap pelbagai penyakit ganjil sejak dilahirkan. Cuma dia sempat membesar hingga berumor 4 tahun. Sempat untuk menyabut kelahiran aku adiknya salepas aruah Mohammad meninggal dunia. Menurut ibuku walaupun Saharuddin selalu sakit dia sangat pemanja, suka bermain dengan aku adiknya dan sangat dimanjakan kakaknya Salmah. Saharuddin di percayai sering di disakat hantu saka. Dia sering menangis tidak menentu. Walaupun pada pengamatan keluargaku Saharuddin menangis disebabkan rasa tidak selesa kerana perutnya membuncit dan kerap kembung, atau tubuhnya kurus kering disebabkan kekurangan zat makanan, tetapi Tok Pawang dan Bomoh tetap berpendapat bahawa idapan penyakit itu terhasil dari kesan rasukan saka leluhur ibunya.


Peperangan Dunia Ke2 sudah sampai ke Timur Jauh. Tanah Melayu secara langsung terperangkap dalam gelodak peperangan itu apabila Tentera Imperial Jepun mula menduduki Tanah Melayu dan berkuasa di Asia dan Pasifik. Peperangan telah membuatkan rakyat Tanah Melayu menghadapi ancaman kebuluran. Makanan sukar didapati. Ubikayu, keladi dan pisang; ganti nasi. Walaupun ikan bolih diperolehi dari Sungai Bernam, tetapi beras dan keperluan lain tidak ada dipasar. Jika adapun ia dijual secara Pasar Gelap.
Untuk menampung kegetiran hidup di zaman Jepun, keluargaku dan penduduk kampungku mengerjakan tanah terbiar untuk dijadikan sawah padi. Walaupun sawah padi mereka subur, tetapi ia menghadapi ancaman burung, tikus, binatang buas dan banjir air masin bermusim dari Selat Melaka. Ketika tidak bersawah padi, keluargaku bertanam ubi, pisang dan jagung.


Ketika aku dilahirkan ibuku hampir maut, kerana tersangkut uri. Tidak ada klinik atau hospital untuk masaalah kelahiran aku itu dapat dirujukkan, kecuali berdoa kepada Allah akan keselamatan ibu dan bayi. Dua hari satu malam ibuku dalam keadaan demikian. Akhirnya ibuku telah selamat melahirkan aku pada subuh hari Ahad. Aku saorang bayi yang sihat dan montel, cahaya mata yang paling berharga kepada pasangan Abas dan Jariah yang telah kehilangan saorang anak lelaki itu. Apabila abangku Saharuddin meninggal dunia ketika berumor 4 tahun dan umor ku belumpun mencapai genap setahun, ayah dan ibuku kini tinggal hanya saorang sahaja anak lelaki, ia-itu aku. Aku telah dimanjakan dan dijaga dengan penoh kasih sayang.


Masaalah ibuku sangkut uri ketika melahirkan aku, hampir menemui maut, memperkuatkan lagi hujjah Tok Pawang dan Bomoh ia adalah angkara saka leluhur ibuku. Ayahku dan keluarganya tidak dapat bertahan. Mau ta’mau mereka terpaksa akur pada nasihat Bidan Meriam, jika ibuku mengandung lagi, tuntutan semangat saka tubuh badannya hendaklah dituruti, untuk keselamatan dirinya dan bayi yang akan dilahirkanya. Bidan Meriam sebagai Bomoh Puja dan Lenggang Perut saterusnya diangkat sebagai Bidan Tempah. Nasihat beliau segera dirujuk apabila ibuku mengandung samula.


Saterusnya saperti yang diceritakan ibuku dan kemundian pada pengamatan aku sendiri, kelahiran 4 adik-adikku Miah, Lijah, Zainal dan Biah, ibuku terpaksa melalui upecara Puja dan Lenggang Perut kononnya untuk memenohi tuntut saka leluhur nenek moyangnya itu.






Instalment Akan Datang
‘Kesan Parut Luka’








[1] Babad: sejarah, riwayat ( chronicle )
[2] Upah Seraya: bertolong bantu mengerjakan sesuatu dengan upah ta’seberapa.
[3] Saka/Sang Saka: semangat tubuh keturunan, di turunkan dari ibu kepada anak perempuan sulungnya, melalui upecara Puja & Lenggang Perut ketika mengandungkan anak pertama.
[4] Puja/Poja: upecara penghormatan kepada dewa-dewa. (kurafat/tidak terdapat dalam ajaran Islam) .
[5] Ayam Selasih: sajenis ayam keseluruhan bulu dan dagingnya berwarna hitam.
[6] Limas: satu bentuk timba atau takir di perbuat dari upeh pinang.
[7] Leluhur: nenek moyang

ANAK TANJUNG BAYAN

Membesar di Resab Melayu ditengah masyarakat yang daif.

Mengenai Saya

Foto saya
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.