Rabu, 25 Jun 2008

PUAKA SIMPANG 3

Pada tahun 1955 keluarga ku pindah kerumah baru kami di Parti 26 baruh. Ia terpencil dari rumah-rumah lain dalam Kampung Tanjung Bayan. Itulah plot yang pertama yang Bapak mampu beli satelah berkerja keras menggunakan empat tulang untuk mengumpulkan wang sacukupnya. Dan di kediaman baru itulah Aku dan 5 adik beradik membesar. Rumah kotai yang di dirikan Bapak itu, antara yang terbesar di kampong kami. Pembinaannya di uruskan Bapak sendiri. Satelah siap terbina rumah di hujung tanah Resab Melayu itu di kenali sebagai Rumah Kotai Pak Andak Abas. Hingga sekarang ini satelah lebih 43 tahun didirikan, rumah itu masih tegak berdiri, walaupun banyak bahgian yang telah reput dan perlu diganti.
Olehkerana adikberadik ku telah meninggalkan kampung membina penghidupan keluarga masing-masing, rumah itu terpaksa di sewakan, dengan kadar harga yang termurah. Tidak sampai RM150.00 sebulan. Tujuan semata-mata Rumah Kotai Pak Andak Abas tetap dihuni dan tidak tinggal tanpa dijaga bagitu saja. Itu keputusan kami adik beradik.
Terlalu banyak pengalaman pahit manis yang Aku lalui membesar dirumah itu. Ada sabuah badminton court di halaman, tempat Aku dan kawan-kawan bermain badminton. Terdapat sabuah Salai Copra di bahagian hadapan bersetentangan dengan titian merentangi tali air yang dipenohi rumpai telepok – Parit No 26. Perangai Bapak suka duduk sendirian menguruskan Salai Copra hingga lewat malam. Sekali sekala dia akan batuk-batuk kecil ( sebagai isyarat kepada keluarga di rumah bahawa dia masih berada di Salai Copra itu) Pada ketika lain pula dia menghiburkan diri dengan berzikir. Parit No 26 panjangnya satu batu, terentang dari bahagian darat hingga kebaruh. Ia juga merupakan garis sempadan antara kawasan Resab Melayu seluas lebihkurang 35 hingga 40 batu persegi, dari penjuru plot tanah aruah Bapa menjulur kebarat ikut tebing Sungai Bernam, menyusur pantai Selat Melaka hingga ke pelabuhan Bagan Datok di kuala Sungai Perak, membentuk satu kawasan lidah tanah yang luas. Waktu malam sekitar kawasan rumah kami itu sangat sunyi. Satu batas bund terentang di hadapan rumahku, diguna penduduk kampung sebagai laluan penghubung antara pekan Hutan Melintang hingga ke pekan Bagan Datok sejauh 16 batu.
Kini laluan itu telah di turap asphalt dan boleh digunakan oleh kenderaan berat. Satiap kali aku pulang kekampung, aku tidak akan lepaskan peluang untuk memandu keretaku melintasi Rumah Kotai Pak Andak Abas menuju ke pekan Bagan Datok. Terlalu banyak kenangan, di satiap kawasan perkampungan yang aku lalui: kampong-kampung Sungai Pulau, Sungai Sumum, Sungai Batang, Sungai Tiang, Sungai Lancang, Rungkup, dan Bagan Datoh.
Di hadapan rumah kami terdapat satu Simpang 3. Jaraknya 500 ela, hanya dipisahkan taliair di pertemuan Jalan Batas Bund dan Jalan Parit No 26. Menurut penduduk tempatan, kawasan Simpang 3 itu berpuaka. Khabarnya dihujung plot tanah Bapak, terdapat sabuah Kubu Jepun dan di kawasan Simpang 3 itu juga tempat Tentera Imperial Jepun memancung penduduk tempatan. Di dalam belukar ditepi bund hampir tebing Sungai Bernam di penohi pokok piai, beluntas, dan berembang. Ada cerita mengatakan, dalam hutan piai itu pernah dijumpai beberapa tengkorak manusia. Terdapat sebatang pokok Semarak (flame of the forest) berhampiran Simpang 3 itu. Ia terletak di sempadan tanah pekuburan Hindu. Aku masih ingat tiap kali diadakan pengkebumian di Simpang 3 itu akan berlaku satu 'ritual keagamaan' yang sangat dramatik. Keranda yang membawa simati akan dipusingkan 3 kali, sabelum di usung ke tanah perkuburan. Terlalu dramatik melihat kaum keluarga si mati menangis-nangis dan meronta-ronta, dan satengahnya menghempas diri. Perlakuan adakalanya seronok di tonton, sabenarnya sangat menyayat hati bagi yang menyaksikan. Aku dan adikberadik cuma berani mengintai dari jauh melalui jendela rumah kami ritual yang berlangsung itu. Lagi menakutkan kami mayat itu diletak diatas usungan yang terbuka. Kepala mayat terdedah menadah kelangit. Sepanjang malam, hingga berminggu lamanya kami dapati sukar untuk melelapkan mata. Menebalkan lagi kepercayaan kami kepuakaan Simpang 3 itu.
Utih emak saudaraku tinggal di Parit 26 darat. Beliau saorang Bomoh, dan selalu ditemani Pak Utih untuk mengubat pesakit. Menurut Emak, satu malam beliau dikejutkan oleh Pak Utih minta pinjam parang panjang atau sebatang buluh. Katanya basikal mereka telah di liliti oleh saekor ular yang besar betul-betul di Simpang 3 itu. Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan pulang dan Pak Utih bercadang untuk memancung ular itu dengan parang atau memukulnya sampai mati menggunakan buluh galah. Emak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian. Kata Emak, apa yang disangkakan ular itu adalah penunggu Simpang 3 tersebut. Nasihat Emak kepada mereka untuk minta maaf kepada penunggu Simpang 3 itu dan ular itu akan berlalu pergi. Pak Utih dan Utih ikut nasihat Emak. Apabila mereka ke Simpang 3 itu samula, ular yang dikatakan telah melilit basikal mereka, telahpun berlalu pergi. Pak Utih dan Mak Utih meneruskan perjalanan mereka pulang.
Kerajaan British Malaya telah mendirikan paip air untuk penduduk Parit No 26 betul-betul di Simpang 3 itu. Tiap lewat pagi, kakak bertugas ankut air dari paip itu kerumah dengan menggunakan bekasan tin minyak kerosene. Dua bekasan di isi penoh dan di kandar dibahu dengan menggunakan kayu pengandar. Sambil menunggu Kakak Aku bermain lastik. Saekor Burung Murai hinggap pada ranting pohon getah berhampiran dan berkicau riang menegur kami. Aku teruja dan terus melastik Burung Murai itu. Tembakan Aku mengena, dan Burung Murai itu menggelepar jatoh kedalam parit. Kakak yang sedang mengandar 2 tin penoh air paip cepat-cepat meletakkan bebannya dan menerkam Burung Murai itu. Burung itu munkin cedera tetapi tidak mati. Kakak segera memulihkan burung itu samula dengan mengurut-urut sayap dan paruhnya. Kemundian Kakak lepaskan burung murai itu. Burung itu terbang pergi. Menjauh. Kakak nasihatkan aku supaya tidak melastik burung lagi. Katanya burung itu tidak berdosa, tidak seharusnya ia diseksa.
Aku rasa berdosa. Aku menyesal. Malu pada Kakak dan keciwa atas kelakuanku, aku hilang selera untuk makan tengah hari itu. Petang itu aku rasa ta’sedap badan. Tekakku mual dan perutku sakit. Emak dan Bapa kuatir aku keracunan makanan. Kakak tidak berani menceritakan peristiwa aku melastik burung kepada Emak dan Bapak, kuathir akan dimarahi. Malam itu, Emak dan Bapak minta Utih membomohkan aku. Utih ramalkan ‘aku ditegor kuasa halus.’ Kakak menangis di dapor, mendengarkan ramalan Utih. Aku mula rasakan semacam ada makhlok ganas yang sedang mengelodak isi perutku, ketika Utih menyapu perutku dengan minyak kelapa dicampur pelbagai ramuan termasuk ludahan air sireh yang dimamahnya sepanjang masa membomohkan aku itu.
Babarapa hari kemundian aku mula pulih. Emak dan Kakak aturkan satu perkelahan di sungai untuk pulihkan selera makan ku. Seminggu tidak sempurna makan dan minum, menyebabkan mataku cengkung dan perutku kempis. Kepalaku selalu pening-pening teruatama apabila suhu badanku meningkat. Pada pagi hari ketiga aku sakit itu, demamku telah mula kebah dan kepalaku juga tidak sakit. Kata Emak, waktunya sangat sesuai untuk aku pulihkan selera makan dengan pergi berkelah di sungai.
Di dalam perjalanan dari rumah menuju ka Pengkalan, dan ketika melintasi Simpang 3 itu, saekor Burung Murai menyanyi-nyanyi riang di atas dahan pokok berhampiran. Aku rasa tidak tenteram. Aku rasa berdosa kerana menembak saekor Burung Murai ditempat yang sama. Kulihat bibir Kakak komat kamit, munkin sedang jampi serapah, atau munkin sedang meminta maaf kepada penunggu Simpang 3 itu. Tengah hari itu suhu badanku maik samula dan kepalaku pening. Rancangan untuk berkelah di sungai, terpaksa dibatalkan dan aku dipapah Kakak dan Emak balik kerumah samula.

Selasa, 1 Januari 2008

ANAK BERUDU & LINTAH

Seberapa boleh aku akan mengelak dari mandi ditelaga, walaupun berkubang ditelaga sangat menyeronokkan. Biasanya terdapat 2 buah telaga disatiap rumah di Resab Melayu kampungku. Satu telaga mandi dan satu lagi telaga untuk cuci kaki. Telaga untuk cuci kaki dilengkapkan dengan tangga untuk masuk kedalam air. letaknya berhampiran anjung. Telaga mandi tidak punya anak tangga. Letaknya dibelakang rumah, siap dengan pelantar dan dan ruang untuk bersugi. Air dari telaga mandi di ceduk dengan menggunakan baldi, dan tiap telaga mandi dipagar rapi supaya tidak dinajisi.
Bagi kanak-kanak mula belajar berenang digalakkan menggunakan telaga bertangga itu untuk mandi manda. Sasaorang boleh bergayut pada anak tangga itu. Sambil bergayut gerakkan kaki seandai orang berenang. Lama kelamaan dia akan menguasai skil berenang cara tersendiri. Bagitu cara kami belajar berenang.
Kakakku dan anak-anak dara lain suka main gelembung menggunakan kain basahan. Kain basahan itu dipakai secara ketang dada. Bahagian bawah akan ditelekupkan kepermukaan air.dan kedua-dua belah penjurunya cepat-cepat ditarik kebawah. Akan terbentuk gelembung angin membulat bagaikan perut orang busung. Gelembung angin itu dijadikan pelampung untuk berenang ketengah perigi. Hubaya kain gelembung akan terlucut dari pegangan dan akan mengeluarkan angin, membobok keluar, bunyinya kasar ‘semacam bunyi kentut pengidap buasir’.
Kemundian kita akan tercungap-cungap tenggelam ditengah perigi yang tohor itu.
Warna air perigi semacam kopi susu dan di selaputi kiambang. Untuk mandi manda, kiambang-kiambang itu hendaklah dikuak ketepi, buka ruang untuk sasaorang masuk berendam kedalam air. Waktu itu akan kelihatan timbul anak-anak berudu, hasil tetasan dari telur katak yang membueh dibirai perigi atau dari bawah anak tangga. Tiap saekor anak berudu, besarnya sabesar kuku jari manis orang dewasa, berwarna hitam dan berekor.
Kata mereka,apabila anak berudu cukup besar kepalanya akan berpisah dengan ekor. Kepala akan jadi anak katak, dan melompat naik ke daratan manakala ekornya tinggal dalam air dan membesar jadi ikan haruan.
Dalam lumpur dibawah kiambang itu juga terdapat lintah. Lintah boleh masuk ketubuh kita melalui dubur, jika kita mandi telanjang.
Kesah bagini, disebarkan luas kepada semua anak-anak, munkin untuk menghindar mereka dari berkubang sepanjang hari dalam perigi semasa orang tua tiada dirumah.
Apapun da’ayah gulungan tua itu, seberapa boleh aku akan mengelak dari mandi ditelaga tiap kali berkunjung ke kampong leluhur emak. Tertelan anak berudu akan mengeramkan anak katak dan anak ikan haruan, atau jika lintah masuk melalui lubang dubur, perut akan jadi buncit dan mengidap busung.
Tok Anjang mampu membina kolah simen dibawah rumahnya, untuk ditakung air hujan. Bagitu juga di rumah Tok Aji Wahid di Kampung Rungkup. Pastinya aku senang mandi air kolah dirumah Tok Anjang atau Tok Aji Wahid.
Maka itu tiap kali keluarga kami dijemput bermalam dirumah selain dari kedua mereka ini, aku akan merota ajak Emak dan Bapak balik kerumah Tok Anjang.
Anehnya hingga sekarang keluarga kami rata-rata tidak makan ikan haruan. Hingga besar, aku phobia untuk masuk berkobang didalam perigi.



*******
Semasa di kelas SMC (Special Malay Class) beberapa tahun kemundian, chegu pernah ceritakan, kesah saorang pesakit minta doctor bedah perutnya kerana dia percaya telah tertelan saekor katak.

“…….Saorang pesakit percaya dia telah tertelan saekor katak. Dia percaya katak itu sedang membesar , menyebabkan perutnya jadi busung. Pesakit itu pun segera menemui Doktor, minta perutnya di bedah. Satelah memereksa, Doktor dapati dakwaan pesakit itu tidak benar. Perutnya busung, akibat pemakanan yang tidak menentu dan seimbang. Tapi Si pesakit tetap meminta Doktor memngeluarkan katak itu. Walaupun berkali-kali diyakinkan Doktor tidak terdapat sebarang katak didalam perutnya, dan dakwaannya itu tidak benar, Sipesakit tetap mengunjungi kliniknya minta perutnya dibedah.
Doktor dapat satu helah. Dia minta pesakit itu datang samula hari pada berikutnya. Sembunyi-sembunyi, Doktor telah letakkannya saekor katak kedalam basin di bilik bedah kliniknya itu.
Pesakit pun dibaringkan diatas katil bedah. Doktor pura-pura tetapi secara bersungguh menekan perut pesakit yang kembung itu. Tiap kali, dicuba angin keluar membuak dari perut pasakit. Sajurus pesakit rasa lega dan pulih. Doktor pun mengeluarkan basin dari bawah pinggulnya. Melihatkan ada saekor katak didalam basin itu, pesakit kini yakin, itulah katak yang didakwanya sedang membesar dalam perutnya itu. Pesakit pulang dengan rasa puas hati.'

Yang membelenggu fikiran saya hingga ke dewasa ini, munkinkah ada kalangan kami pernah tertelan saekor dua anak berudu, atau lintah masuk kedalam tubuh melalui dubur.
Apapun; kami tetap berpegang kuat akan nasihat orang tua-tua: “apabila perut rasa tidak tenteram dan kembung salepas berendam lama dalam perigi, cepat-cepat telan air sireh banyak-banyak. Barang hidup yang ta’sepatutnya berada dalam perut, akan segera mabuk dan mati akibah campuran kapor dan rasa pahit gambir. Kemundiannya dan keluar dengan najis kita.” Rata-rata kami amalkan itu. Benarkah ia berkesan?

Wallahualam.

Sabtu, 29 Disember 2007

Keluarga Emak

Leluhur Keluarga Emak

Antara bagitu banyak perkampungan di Resab Melayu itu, Kampung Tanjung Bayan dan Kampung Sungai Lancang tempatku membesar. Jarak antara keduanya kira-kira satengah berkayuh perahu hilir Sungai Bernam ikut arus air surut menuju ka Selat Melaka. Jika berkayuh pada waktu subuh dari Tanjung Bayan, menghilir ikut surut pagi menuju kuala Sungai Bernam akan sampai ke Bagan Sungai Tiang sabelum tengah hari. Kemundian jalan kaki meniti  batas ‘bund’ ke Kampung Sungai Lancang. 


Di situ letakkan perkampungan kelompok keluarga Emak. Disitu kelompok Tok Aji Ali aruah ayah Emak membuka perkampungan. Kini di Kampung Sungai Lancang tinggal keluarga Tok Anjang, Tok Uchu, Tok Andak, Tok Zaharah, dan ramai lagi ‘sepupu sepapa’ leluhur keturunan Mak.


Sambil menapak melalui jalan jalan kampung arah ke Sungai Lancang, tiap kali kami melintasi kediaman keluarga, dalam kegaeharannya Bapak akan menlaung memberi salam, mengumumkan ketibaan kami itu. 


Dan tanpa usul pereksa penghuni rumah, lantas bertanya: “Siapa tuu?”


“Kami dari Tanjung Bayan,” laung Mak jika suara yang bertanya itu perempuan. Selalunya kaum perempuan tinggal di rumah waktu siang, kaum lelaki mencari redzeki di luar. Bapak dan Emak pasti itu.

“Bila sampaiiii,” suara itu memanjang dan bernada ceria dilontarkan keluar dari arah dapor. Di ikuti susup sasap bunyi beberapa tapak kaki menerpa kebahgian anjung, diikuti bunyi jejari anak tingkap dibuka.


“Ohh Kak Long dan Abang Andak ke!!!. Takke’ singgahhhhhh,” suara memanjang tadi kini sudah menjengokkan muka di jendela di anjung. 



Kakak selalu ketawa-ketawa kecil, geli hati lihatkan muka-muka dijendela itu puteh melepak ditampal bedak sejuk. Kadangkala ada dua tiga muka, menjengok sileh berganti dimuka jendela itu, ghaerah mengintai kami. 


Pernah aku menonton persembahan bangsawan bersama keluargaku di Great World Amusement Park Teluk Anson sabelumnya. Bagiku kemunculan muka melepak puteh saperti dari jendela di kampong Sungai Lancang itu, sama saperti cara badud bangsawan menjengokkan muka dicelah-celah tirai panggung, sabelum keluar ketengah gelanggang menghiburkan penonton dalam ‘extre turn.’

Bagaimana pun emak tidak jawab soalan pertama, atau pelawaan dari tuan rumah itu. Sebaliknya akan tercetus di mulut emak,”Nak kerumah Tok Anjang,” jika rumah Tok Anjang yang kami tuju.


Memadai dengan jawapan itu. Pasti malam nanti mereka akan bertandang kerumah Tok Anjang untuk mengalukan kedatangan kami.


Biasanya kunjungan keluargaku ke Sungai Lancang akan memakan masa yang lama. Munkin sampai seminggu dua.


Tiap saudara terdekat akan keluargaku lawati secara bergilir. Tidur semalam dua dirumah rumah mereka. Yang pasti Rumah Tok Anjang tumpuan utama. Kerana dia keluarga lelaki yang tua, atau munkin kerana Rumah Kutai Tok Anjang besar. Atau munkin Tok Anjang diakui terkaya dalam rumpun leluhur ibu. Aku tidak pasti itu. Bagiku keputusan jadikan Rumah Tok Anjang tempat persinggahan pertama kami sesuatu yang menyenangkan. Kerana di rumah Tok Anjang ada peti nyanyi. Satelah seharian letih dibuai ombak dan otot-otot keras berjalan kaki bermalam dirumah Tok Anjang pasti menghiburkan.


Terdapat sabuah Kedai Gunting dipintu masuk kerumah Tok Anjang. Ketika Bapak beri salam, aku cuba elak memandang kearah kedai itu, kuathir bertemu mata dengan Tok Ucu, adik bungsu Tok Anjang.


Tok Uchu satu-satunya tukang gunting di Kampung Sungai Lancang. Pasti Tok Ucu akan pelawa untuk cukur rambutku. Membenarkan kepala dibotakkan oleh Tok Ucu bermakna menanggung seksa kesakitan dari pisau cukurnya yang tumpul. Kali terakhir aku serahkan kepalaku untuk dicukur botak oleh Tok Ucu, sepanjang malam ku rasa pedih garis-garis luka dikulit kepalaku. Mandi pertama salepas bercukur, paling menyeksa. Kulit kepala rasa pedih apabila di sapu air limau nipis, untuk menghapuskan kelemomor disamping, air telaga yang senantiasa kelat itu memedihkan mata. 



Tok Uchu akan tinggalkan setompok jambul didahiku. Kata Tok Uchu jambul didahi itu akan menghindar aku dari di goda syitan dan di jangkiti penyakit. Apabila ku renung wajahku dalam cermin ku dapati mukaku sangat melucukan, ala badut sarkas,

Dari mana Tok Ucu belajar ilmu itu, aku tidak pasti. Tapi itulah kata-kata Tok Ucu kepada Bapak ketika pisau cukurnya rakus membotakkan kepalaku. Jika aku tidak memakai sebarang tangkal di leher, Tok Ucu pasti akan kalungkan satu tangkal percuma, supaya aku ‘cucu kesayangannya’ akan kebal dari gangguan semangat halus.


Kata Tok Anjang segalanya itu adalah karut marut, kurafat dan bidaah semata-mata. Tapi Tok Ucu tetap dengan caranya.


Tok Anjang telah menunaikan Rukun Kelima. Dia dikenali di Sungai Lancang sebagai Haji Munaf. Tapi Tok Anjang tidak pernah ku lihat pakai serban saperti yang lain-lain. 



Bergelar Haji mempunyai kedudukan ‘protokol’ istimewa dan selalunya diberikan satinggi penghormatan oleh rata-rata masyarakat kampong. Dimajlis-majlis kenduri mereka mengepalai hidang. Didudukkan sebaris dengan Tok Imam, Tok Sidang atau Penghulu. Makan satu hidang, biasanya dalam talam tembaga, beralaskan ‘kain seperah bertekat warna kuning’. 


Tapi Tok Anjang ta’suka semua itu. Katanya, dia tidak mau didewakan atas alasan dia saorang Haji. Haji tuntutan Allah untuk tiap umat Islam menunaikannya. Mengerjakan Haji ketanah suci Mekah Al Mukaramah rukun wajib untuk semua penganut. Selesai ibadah haji tidak memestikan sasaorang mendewakan dirinya minta disanjung dan dihormati, walaupun ramai bekas jemaah anggap mereka telah menduduki arysh yang tinggi dalam masyarakat apabila pakai serban dan bergelar haji. Kata Tok Anjuang lagi, kelakuan membanggakan diri itu di murkai Allah. Itu takbur namanya. 


Munkin kerana pendirian Tok Anjang itu dan sikapnya suka merendah diri menyebabkan Emak dan Bapak memilih untuk kerumah Tok Anjang sebagai tempat persinggahan pertama tiap kali kami ke Kampung Sungai Lancang.


“Ehh kamu. Tuju rumah orang kaya aje,” sindir mereka apabila sampai giliran kami bertandang kerumah mereka pula.

Apapun anggapan mereka itu pada pengamatan ku, keluarga kami sangat disayangi oleh keluar leluhur Emak di Sungai Lancang.


Emak sangat bangga dengan leluhurnya. Emak selalu kata, ‘waris warah’nya terdapat dari Kampung-kampung Sungai Tiang, Kampung Sungai Baru, Sungai Lancang dan Rungkup. “Perjalanan kampong dari Sungai Tiang ke Rungkup, tiap rumah yang ditemui adalah ‘waris warah’ emak. Singgah saja dan kamume akan dilayan mereka sebaiknya,” emak selalu berpesan. 



Aku akui pengakuan Emak itu. Emak tidak bermain kata. Tiap kali kami ke Sungai Lancang, emak pastikan kami juga kerumah keluarga di Sungai Tiang, Sungai Baru dan Rungkup. Jarah antara Sungai Tiang dan Rungkup hampir 4 batu, kira-kira 7km perjalanan sekarang.

Di satiap kampong itu, terdapat pecahan institusi leluhur keluarga Emak. Tiap satu institusi itu berketua, saperti Tok Anjang mengetuai institusi keluarga emak di Sungai Lancang. Di Sungai Tiang ada Tok Uda, di Sungai Baru Tok Aji Sarif, di Rungkup Tok Aji Wahid. Jadinya tiap kali keluarga kami bertandang ke Sungai Lancang, wajib bagi kami membahagikan masa untuk tinggal semalam dua di Sungai Tiang, Sungai Baru dan Rungkup.


Selasa, 28 Ogos 2007

Keterampilan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar di semua Government English School. Pepereksaan LCE yang akan kami duduki pada tahun 1957, adalah dalam bahasa pengantar Inggeris. Kumpulan kami di GES Sg Sumun, gulungan yang terulung menduduki pepereksaan LCE (Lower Certificate Of Education) itu. Cabarang yang dihadapi oleh Guru Besar dan guru-guru di GES itu, untuk meningkatkan penguasaan kami menggunakan Bahasa Inggeris. 2 tahun dalam kelas peralihan SMC 1 & SMC 2 dirasakan tidak mencukupi bagi budak-budak kampong saperti kami dari Sekolah Melayu, berbanding mereka yang terdidik di Sekolah Inggeris dari Primary 1 hingga Primary 5. Perbedzaan itu sangat ketara apabila kami ‘budak-budak kampong dari aliran Melayu’ ditempatkan satu darjah dalam Standard 6 dengan ‘murid-murid bandar dari aliran Inggeris.’
Bagi Guru Besar Chegu Mustapha K. hanya dengan menguasai asas Bahasa Inggeris sebaiknya, penentu pada kejayaan cemerlang dalam pepereksaan awam itu.
Bertutur dalam Bahasa Inggeris di wajibkan bagi semua murid. Bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing selain dari Bahasa Inggeris akan di denda 5 sen. Guru-guru dan Prefect sekolah diberikan tanggungjawab sapenoh untuk memantau pelaksanaan arahan Guru Besar itu sebaiknya. Yang didapati bersalah akan di hadapkan kehadapannya. Chegu Mustapha K. tidak akan ragu-ragu menjatuhkan hukuman denda bagi kesalahan pertama dan sepanjutnya akan memanggil ibubapa atau penjaga bertemu dengannya di sekolah bagi kesalahan kedua dan saterusnya.
Satu hari tanpa pengetahuanku bapaku telah datang ka Sekolah bertemu dengan Guru Besar. Aku jadi kalut bila diberitau akan kedatangan bapaku itu. Munkinkah aku telah dilaporkan Prefect kerana bertutur dalam Bahasa Melayu di sekolah. Sepanjang ingatanku, tidak pernah sekalipun aku ditangkap kerana kesalahan itu, walaupun pada banyak ketika kami terbawa-bawa bertutur Melayu sesame kami. Tapi kenapa bapaku dipanggil bertemu dengan Guru Besar itu?
Aku rasa serbasalkah apabila dipanggil menghadapi Guru Besar serta merta pagi itu. Ketika aku dibenarkan masuk mengadap Chegu Mustapha K. bapaku sudah berada dihadapannya. Semacam mereka berdua telah selesai berbincang dan kini sedang menunggu akan kedatangan aku itu sahaja. Apakah yang telah mereka bincangkan sabelum itu, diluar pengetahuanku.
“Is it true, that you want to leave school?” suara Chegu Mustapha K. Guru Besar jelas ku dengar menyapa aku. Aku tersentak, terkedu ditempatku berdiri itu. Siapa kata aku hendak berhenti sekolah, jerit batinku. Ta’pernah terlintas dalam hatiku, akan meninggalkan GES Sungai Sumun itu.
“No Sir. That is not true,” jawabku takut-takut. Mataku mencuri pandang kearah ayahku. Maka itu barangkalinya Guru Besar panggil ayahku bertemu dengannya pagi itu.
“Your father said that you’re not learning anything,” sambungnya. “Your father said that he should leave school and help him support the family.”
Mustapha K. senyum sinis. Aku rasa satu hukuman berat telah dijatuhkan kepada aku, tanpa mengetahui apa sabenarnya kesalahan ku itu. Aku mesti bertindak membela diri. Ku pandang bapaku dan kemundian Guru Besar dengan pandangan hiba.
“Please sir. I don’t want to leave school,” rayuku sedih.
Mereka kemundiannya berpandangan saketika.Kemundian ku lihat Guru Besar bercakap dengan ayahku pula.
“Macam mana Pakcik. Jadike dengan keputusan Pakcik nak keluarkan Aziz dari sekolah ini?”
Guru Besar minta keputusan dari ayahku. Aku rasa pagi itu sangat malang bagiku. Ayahku tidak berfikir panjang untuk menjawab, memberikan keputusannya.
“Sekarang saya dah dengar sendiri. Saya tidak ragu lagi Chegu. Aziz mesti terus belajar di sini.” Ayahku bersuara.
Aku jadi tenggelam punca, apa sabenarnya telah berlaku.
“Selama ini saya ingat dia buang masa tidak belajar Chegu. Hari ini pertama kali saya dengar dia cakap Orang Puteh dengan Chegu. Jadi ta’sia-sia dia masuk Sekolah Inggeris,” putus ayahku.
Guru Bersar tersengeh. Senang sekali dia mendengarkan keputusan ayahku itu.
Guru Besar membenarkan aku kembali samula kakelasku, semantara dia meneruskan perbincangannya dengan bapaku. Apa yang mereka bincangkan saterusnya, aku kurang pasti. Tapi, pada pengamatanku lama juga bapa ku berada dibilik Guru Besar itu sabelum pulang.
Malam itu ibu beritau aku bahawa bapaku paling gembira salepas bertemu dengan Guru Besar. Menurut ibuku selamanya dia memang mengharapkan aku bersungguh belajar di Sekolah Inggeris itu. Dia tidak sanggup terus-terusan mendengar tohmah dan suara-suara jengkel dari jiran sekampung, mengatakan aku membuang masa dihantar ke Sekolah Inggeris, walhal tenagaku boleh digunakan membantunya berkerja kampong.

“Pak Uteh kamu kata jika kamu teruskan belajar di Sekolah Melayu sekarang kamu dahpun lulus Pepereksaan Darjah 6 dan jadi Guru saperti sepupu kamu Shafiee dan abangnya Hashim. Kerja guru senang dan mulia. Tiap bulan ada gaji.” Ibuku menjelaskan sambil tangannya rancak menganyam tikar mengkuang. “Bapak kamu telah termakan hasutan mereka itu, juga pendapat Pak Uteh. Kata mereka dah 3 tahun bersekolah Inggeris, kamu tidak pernah sepatahpun boleh bercakap Bahasa Orang Puteh.”
Bapaku setuju itu, lalu dia ambil keputusan untuk mengeluarkan aku dari GES Sungai Sumun hari itu. Kini satelah bertemu dengan Guru Besar dan mendengar sendiri perbincangan aku dengan Chegu Mustapha K. bapaku tambah yakin bahawa keputusannya untuk menghantar aku ke sekolah aliran Inggeris 3 tahun lalu itu berbalol. Beliau berikrar akan akan patuh pada nasihat Guru Besar Chegu Mustapha K. untuk aku meneruskan pelajaranku ka sekolah Inggeris di bandar Ipoh atau Teluk Anson satelah menduduki pepereksaan LCE tahun 1957 nanti, untuk pepereksaan Cambridge School Certificate of Education dua tahun kemundiannya pada tahun 1959.

Ahad, 26 Ogos 2007

Guru Besar dan Politik Sekampung’

Zaman persekolahan memang menyeronokkan. Sekolah bagaikan taman ilmu untuk kami membesar. Murid-murid GES Sungai Sumun diurus secara berjadual dan tiap ahli dituntut untuk akur pada peraturan-peratuan sekolah yang ditentukan. Guru adalah gulungan pembimbing yang sangat dihormati semua. Oleh murid-murid, ibubapa dan jiran sekampung. Mereka gigih membimbing kami kearah sempurna. Keterampilan dan setiakawan dari mereka itu menyebabkan kami rasa berpunya. Mereka ikon yang dipandang tinggi. Mr Nesaratnam. Mr Ong Hong Kong, Chegu Ghazali, Chegu Rokiah, Chegu Latiff, Chegu Kamaruddin, Mr Gurucharan Singh dan lain-lain mempunyai keterampilan diri sebagai pendidik dengan cara dan gaya mereka yang tersendiri. Tiap saorang dari mereka punya personality yang mengkagumkan kami. Bagitu pula dengan Guru Besar baru kami, Chegu Mustapha K.
Orangnya sudah pertengahan umor tetapi masih bujang. Khabarnya dia berasal dari Chemor, Perak. Keturunan Mendailing. Kata bapaku,” keturunan Mendailing orangnya bijak-bijak belaka. Kamu bernasib baik dapat Guru Besar sebangsa kita memimpin kamu.” Entah mengapa bapaku berpendapat demikian tidak dapat aku jelaskan. Munkin 2 tahun bersekolah di GES Hutan Melintang dipimpin oleh Guru Besar keturunan Serani itu menyebabkan ayahku berpendapat demikian.
Chegu Mustapha K tinggal dikuarters Guru Besar sendirian. Guru-guru (bujang) lain, berkongsi di Kuarters Bujang kecuali Chegu Ghazali anak tempatan dan Chegu Rukiah tinggal bersama keluarganya di Barrack Custom dan berulang kesekolah dengan bas.
Sebagai Guru Besar Mustapha K. mengamalkan displin yang ketat. Dia mentadbirkan sekolah itu bagaikan saorang General. Tiap guru sangat hormat pada daya kepimpinannya. Murid-murid takut dengannya. Orangnya gempal, pendek, kepalanya besar dan rambut nipis ditengah. Bibirnya tebal, anak matanya jinak dan tajam. Apabila dia berucap, di perhimpunan pagi, semua akan tunduk dan patuh mendengar, lebih-lebih lagi arahan darinya. Bagitu pula dengan guru-guru. Tidak siapa yang berani membangkangnya. Kami diberitau beliau berkelulusan ilmu perguruan dari luar negeri, maka itu barangkali semua guru sangat hormat kepadanya. Jika memakai seluar pendek warna tanah liat dipadan dengan baju puteh lengan pendek, beliau akan bersetokin panjang tebal di ketatkan dengan ‘garters’ dan kasut kulitnya senantiasa berkilat.
Kabarnya beliau saorang pemain Rugby. Maka pasukan Rugby segera tertubuh di GES itu. Aku cuba sekali dua bermain Rugby, tapi kerana ta’sanggup kena sepak terajang pemain lain, aku ambil kesimpulan menyertai Pasukan Hockey sahaja…itupun sebagai Penjaga Gol.
Guru Besar kami Mustapha K. anti-penjajah. Itu kami tau benar. Di sebarang ucapannya diperhimpunan murid dan guru, dia tetap membentak sinis tiap kali membicarakan nasib malang anak bangsanya ditindas penjajahan. Pada ketika tertentu kami dapati beliau sering didekati oleh ahli-ahli politik tempatan saperti Ketua Kampung Pak Radin atau Lope Hashim (Umno-Parti Perikatan) dan pengikut-pengikutnya atau Ustaz Hassan Adli (PMIP) dan rakan-rakannya dari Madarsah Al-Ulum. Mereka senang berdamping dan memberikan kerjasama kepadanya untuk memajukan anak tempatan di GES itu. Kecenderungan yang ditunjukkan mereka itu sangat dihargai oleh Guru Besar kami itu.
Kesah bagaimana Chegu Mustapha K membelasah saorang pegawai ‘orang puteh’ telah menjadi cerita sengsasi yang disampaikan dari mulut kemulut di kampong kami. Menurut ceritanya, saorang Pegawai Expateriat Inggeris baru bertukar kadaerah itu. Petang itu Mustapha K baru selesai bermain Rugby di padang, saja-saja pelawa rakan-rakannya ke Rest House+ untuk minum-minum. Ketika mereka sampai di Rest House itu bag-bag Pegawai Expatriat Inggeris tersebut sedang dipunggah keluar dari kereta dan ditempatkan dihadapan anak tangga, sementara menunggu Porter untuk mambawa masuk kebilik yang telah ditempah lebih awal. Kerana keletihan perjalanan jauh dari Kuala Lumpur Pegawai Expatriat itu ambil kesempatan untuk minum di bar dahulu sabelum mendaftar masuk.
Apabila mengetahui bag-bag tersebut kepunyaan Pengawai Expateriat Inggeris itu, Mustapha K. terus menyepak dan membuang bag-bag itu ketengah jalan, dengan alasan ia menganggu perjalanannya. Melihatkan kejadian itu Pegawai Expatriat itu tampil serta menunjukkan kekuasaannya. Bagi Mustapha K. ia bagaikan ‘pucuk dicita ulam mendatang’. Dia sedia menentang pegawai itu, dan mencabarnya bertumbuk. Munkin kerana peristiwa dia bertumbuk dengan Pegawai Expatriat itu dia saterusnya ditukarkan untuk mengendalikan sekolah GES Sungai Sumum yang baru dibuka itu…wallahualam.
Apapun, kesah keberanian Guru Besar kami Chegu Mustapha K. bertumbuk dengan ‘orang puteh’ bagi kami ( sama ada benar atau sebaliknya ) adalah satu kesah keberanian Anak Melayu melawan Orang Puteh yang paling menakjubkan.
Paling menarik perhatian kami makanan untuk Mustapha K. dipesan dari bandar Teluk Anson (kini Teluk Intan) dan dikirim melalui bas. Teluk Anson bandar besar yang ketiga bagi negeri Perak selain dari bandar Ipoh dan Taiping. Ramai kami tertanya kenapa Guru Besar tidak makan di restaurant pekan Sungai Sumum saja saperti kebanyakkan guru-guru GES.yang lain. Mereka pelangganan tetap sabuah kedai Malbari di pekan Sungai Sumun itu. Tapi tidak dengan Guru Besar. Tiap sampainya bas Teluk Anson/Bagan Datoh pada jam 1.00 tengah hari, sabuah ‘tiffin carrier’ tertutup rapat dan berkunci akan diturunkan dipintu masuk kawasan sekolah. Saorang budak pejabat sudah sedia menunggu untuk ditukarkan dengan ‘tiffin carrier’ yang telah digunakan juga ditutup rami dan berkunci.
Ada banyak kemunkinan Mustapha K berbuat demikian. Pertama: dia cerewet tentang makanan, maka dia pesan makanan dari Restoran yang disukainya walaupun terpaksa dikirim dengan bas perjalanan sejauh 17 batu dari Teluk Anson ke Sungai Sumun. Kedua: sikap serius dan displin diri ( serta sikap perengosnya ) menyebabkan orang senang bermusuh dengannya, kerana itu Mustapha K ambil tindakan berjaga-jaga. Ketiga: penglibatannya dalam politik dan sikap anti penjajah yang ada padanya, menyebabkan dia juga perlu berhati-hati. Pada tahun-tahun lima puluhan permainan racun dan santau dikalangan orang-orang Melayu sangat ketara sebagai satu cara tindak balas dendam kepada musuh. Munkin Mustapha K. ingin menghindarkan dari dirinya terkena balapetaka itu.

Pilihan Raya Pertama
Demam politik Tanah Air mula merebak kekawasan kami. Gambar YTM Tunku Abdul Rahman dan Lambang Perahu Layar Parti Perikatan dapat dilihat dimana-mana, walaupun tidak banyak. Juga terdapat Lambang PMIP/PAS, PPP dan beberapa lambing parti lain. Tapi yang sangat ketara berkempen di kawasan kami parti PMIP dan UMNO. lambang Perahu Layar pada kain rentang bersama gambar Tunku Abdul Rahman di pamirkan di pekan Sungai Sumun bersetentangan dengan bilik Darjah 6. Chegu Latif guru ‘Art & Craft’ yang baru kembali dari latihan perguruan di Kirkby secara langsung mengalakkan kami melukis portrait Tunku Abdul Rahman dan untuk kerja tangan membentuk keris dari kayu, atau membuat perahu layar atau membina rumah batu dari kertas kadboard. Kami sangat teruja dengan keterampilan Chegu Latif dan cara dia mengendalikan kelas Art & Craft teruatama aku dan Ismail Shaari. Bagiku satiap masa lapang kugunakan untuk melakar gambar Tunku Abdul Rahman dan Lambang Sampan Layarnya.
Pesan Chegu Latif, petua melukis portrait sasaorang itu, adalah keupayaan kreatif pelukis menlukiskan perwatakan dalaman orang yang dipotretkan itu. Mithalnya dari ukiran senyum atau pancaran cahaya matanya kita akan dapat mengetahui isi hati dan perjuangan hidupnya.Malangnya Chegu Latif tidak lama bersama kami. Dia ditugaskan berpindah ke sekolah lain. Maka tidak dapat kami menghayati sabenarnya pengajaran Chegu Latif dalam melukis potret itu.
Pun bagitu, kecenderungan melakar portrait Tuku Abdul Rahman dan lambang Perahu Layar tetap aku lakukan. Dalam melakar wajah Tunku, aku tidak dapat menentukan sama-ada aku benar-benar berjaya. Raut mukanya, kedudukan songkoknya, orak senyumnya, sepasang telinganya yang agak capang, dagu yang sederhana tetapi berlapis dan misai yang nipis itu munkin dapat ku lakarkan seirap wajah Tunku. Tetapi keterampilan diri peribadinya tidak berupaya aku hayati sapenohnya. Lagi aku cuba hayati, lagi aku dapati perawakan Tunku sentiasa berubah dan perubahan demi perubahan itu sangat menguja aku. Tiap kali wajah Tunku menjelma dalam ingatanku adakalanya dia ku lihat sebagai sebagai bapa, sebagai datok, sebagai pemimpin, sebagai guru, sahabat dan jiran. Sangat sukar bagiku untuk baca isi hatinya.
Akhirnya aku hanya dapat mengenali YTM Tunku sebagai saorang pemimpin politik dari keturunan bangsawan yang sedang berjuang untuk mendapatkan Kemerdekaan Tanah Melayu dari jajahan British. Itu yang aku difahamkan, walaupun aku sendiri waktu itu tidak bagitu faham akan maksud kemerdekaan itu sabenarnya. 
Kerana itu tiap kali aku melakar potret Tunku akan ku lakar sama lambang 
Perahu Layar iaitu lambang Parti Perikatan yang dipimpin olehYTM Tunku di 
Pilihan Raya Pertama itu.
Chegu Singh dan Nesarathnam berkongsi tinggal sabuah kuarters bersama Chegu Ong Hong Kong. Chegu Nesa dan Ong Hong Kong guru terlatih manakala Chegu Singh, Chegu Rokiah dan Chegu Ghazali masih dalam latihan Perguruan. Tiap hujung minggu mereka akan masuk kelas menghadhiri kursus perguruan di Teluk Anson. Chegu Kamaruddin guru sementara yang mengantikan tempat Chegu Latif telah pula dipilih untuk mengikuti Kursus Perguruan di Kirkby, Liverpool.
Galakkan melukis bagi aku dan Ismail diberikan oleh Chegu Singh. Beliau mempunyai tujuan tertentu. Tiap minggu beliau tugaskan kami melukis poster gambar yang akan beliau gunakan sebagai alat mengajar dalam kursus latihan perguruan beliau. Beliau bekalkan kami dengan Brus, Warna dan Manila Kad sacukupnya untuk tujuan itu. Tiap satu lukisan yang siap kami dibayar upah 50 sen.
Perbedzaan ideology politik menyebabkan pergereseran antara penduduk. Pergeseran menyebabkan perbalahan dan perpecahan antara sesama ummah jiran sekampong. Masing-masing penyokong UMNO dan PMIP lama kelamaan menghakis setiakawan dan sesame sebangsa dan sekaluarga. Perbalahan sampai meruntuhkan institusi keluarga.keluarga saterusnya sesame ummah. Orang UMNO tidak bergaul dengan orang PMIP di masjid dan surau-surau. Masyarakat kampong tidak lagi sehaluan. Adik beradik tidak bertegur sapa. Penyempurnaan jenazah pada sebarang kematian dikenadlikan berpihak-pihak, ikut parti apa simati atau keluarganyua menjadi ahli.
Bahang pengaruh ideology politik yang bertentangan mulai dirasai, oleh Guru Besar Mustapha K. Dia tidak membenarkan fahaman politik terbawa-bawa kesekolah. Dia berkerja keras kearah itu. Maka itu dia tidak putus-putus menemui pemimpin-pemimpin parti dan ahli-ahli politik tempatan dengan tujuan untuk melegakan selisih faham politik antara mereka.

Kopral Punishment’
Aktibiti melukis sebagai kerja sambilan pada satiap hujung minggu secara langsung telah menokok wang saku aku dan Ismail. Munkin kerana mereka berkongsi satu kuarters maka, Chegu Nesa guru darjah kami, tidak pula melarang kami melukis alat mengajar untuk Chegu Gurucharan. Bagiku ditugaskan membantu Chegu Gurucharan melukis gambar rajah untuk nya dan dibayar, aku rasakan diriku telah bebas untuk menggunakan talenku sebagai pelukis dimana saja, termasuk mencoret potret Tungku dan Lambang Perahu Layar Parti Perikatan di papan hitam bilik darjah kami pada satu petang Sabtu salepas bermain Table Tennis bersama kawan-kawanku.
Tiap pagi Isnin di adakan perhimpunan. Di perhimpunan itu Guru Besar Chegu Mustapha K akan memberi taklimatnya. Kami semua bersedia awal tiap pagi Isnin. Pakaian mesti kemas dan bersih, dan samestinya kelihatan ceria sepanjang masa perhimpunan itu walaupun bagi satengah kami masih dalam keadaan mengantuk kerana menonton Persembahan Malayan Filem Unit Kerajaan di acara kempen penerangan Pilihan Raya yang diadakan di pekan-pekan kecil pada satiap hujung minggu. Dan pada satiap malam Sabtu dan malam Ahad kami akan berbondong berbasikal mengikuti kereta Malayan Filem Yunit itu berkempen, kadangkala sampai sejauh lebih 10 batu dari rumah kami.
Pada ketika bendera Union Jack di naikkan bersama bendera Negeri Perak kami berderai menyanyikan lagu God Save The Queen dan kemundian diikuti dengan Lagu Allah Selamatkan Sultan. Berbedza dengan pagi Isnin lain-lkain pagi itu Chegu Mustapha tidak berada bersama-sama diupecara menaikkan bendera itu. Sabenarnya pagi itu beliau telah melawat keliling sekolah untuk memantau kebersihan di kawasan. Hanya sajurus kemundian baru beliau muncul dihadapan kami dan salepas Chegu Ong Hong Kong, Guru Pengawas membuat pengumuman berhubung dengan Pertlawanan Sepakbola Antara Sekolah, Chegu Mustapha K memulakan taklimatnya.
Dia senyum melebar dan matanya jinak merenung kami.
“Who amongst you are good in drawing? Please put up your hand,” suaranya mesra dan bersahaja.
Aku, Ismail dan 2 orang murid dari kelas SMC2 angkat tangan.
“Good,” balasnya. “Please come forward.”
Kami berempat segera keluar, berdiri sebaris menghadapi barisan kawan-kawan yang lain. Munkin ada sesuatu yang baik untuk kami pagi itu, bisik hati kecilku. Munkin dihati kecil Ismail dan 2 murid dari SMC2 juga berfikiran demikian. Munkin akan ditawarkan biasiswa untuk dididik sebagai pelukis diluar negeri saperti yang pernah diterangkan oleh Chegu Latif, aku barangan.
“Now. Who amongst you are budding writers? Please put up your hand.” Dia bersuara samula. Matanya jinak dan liar memerhati keliling kepada kawan-kawan yang lain. Musa, Ikram dan Rashid dari kelasku pula angkat tangan. Tiada yang lain sanggup mengemukakan diri.
“Very good. We have 3 potentials. Please come forward,” jelasnya menyeringai sambil memandang kepada Mr. Nesa dan Ong Hong Kong. Mereka bertiga pun keluar, berdiri sederet dengan kami.
Kemundian Guru Besar menghampiri Chegu Nesa dan membisekkan sesuatu kepadanya. Chegu Nesa tersengeh, tetapi mengangguk patuh. Kemundian dia mengarahkan Mr Ong Hong Kong untuk mengelolakan assembly pagi itu.
Kami sangat teruja untuk mengetahui apakah berita baik yang akan disampaikannya sabentar lagi itu. Patuh kami menunggu arahannya selanjutnya.
“Now turn right,” suaranya mula tegas. “Follow me and Mr Nesa to Standard 6 classroom.”
Kami patuh. Hati kecil masing-masing mula mengesyaki ada sesuatu tidak kena. Aku teringat telah melukiskan rajah gambar Tunku dan Logo Parti Perikatan dipapan hitam. Munkin aku akan di displin pagi itu. Tetapi kenapa yang lain-lain pula diarahkan ikut sama?.
Benar. Sampai saja kami ke bilik Standard 6 kami disuruh menghadapi papan hitam.
“Now tell me whose works are these.” Suara Guru Besar tiba-tiba menyerkah. Suaranya bagaikan halilintar.
“I sir,” aku cepat-cepat mengaku. " The drawings are mine, not the writing." aku tunduk patuh dan takut.
Dia, tersengeh.
Lalu kemundian spontan tangannya mencapai pembaris dari atas meja guru dan menunjukkan pada tulisan cogan kata yang berbunyi WANTED DEAD OR ALIVE. REWARD $1000.00 di bawah lakaran gambar Tunku Abdul Rahman.
“Then, whose clever idea writing this,” ujarnya pula sambil mengerling kepada Mr Nesaratnam. Mr.Nesa merenung kami saorang demi saorang. Tidak saorang yang mengaku.
Lama kami terpegun berpandangan antara satu sama lain. Kemundian Ikram angkat tangan dan menbgakui dia, Rashid dan Musa yang menulis slogan itu.
Pagi itu keempat kami di kenakan ‘copral punishment’ di rotan tiap saorang sekali dengan kayu pembaris dihadapan Mr Nesaratnam, manakala Ismail dan 2 murid SMC2 diberi amaran bersama.
Apabila kami berada semula bersama yang lain-lain Guru Besar saterusnya member amaran, bahawa murid-murid sekolah tidak dibenarkan masuk campur politik. Barang siapa yang membawa politik kebilik darjah akan menarima hukuman rotan darinya.
Samada peristiwa kami menerima ‘copral punishment’ dengan di rotan pagi itu diketahui oleh semua murid atau hanya segelintir dari kami yang berada di bilik darjah Standard 6 itu, tidak siapa dari kami yang sanggup memantau.
Chegu Gurucharan juga tidak lagi memberi kami tugasan tolong lukis alatan mengajar bagi kursus perguruan yang dihadhirinya pada tiap hujung minggu itu, munkin atas nasihat dari Mr Nesa rakan sakuarters dengannya itu.






_________________________________________
Rest House+ - rumah persinggahan yang mengandungi bar dan restoran makanan barat untuk Pegawai-Pegawai Expateriat, dan Orang-Orang Kenamaan sahaja.
Mustapha K. – untuk menghormati hamba Allah ini nama penohnya tidak ditu

Rabu, 22 Ogos 2007

Anjakan

Berlajar dalam Tingkatan 1 di sekolah baru GES Sungai Sumum pertama kali mempertemukan kami dengan kumpulan pelajar baru dari berbagai bangsa: Melayu, China, Tamil dan Pakistan. Mereka bertukar dari kelas Primary 6 di sekolah-sekolah Inggeris dari bandar.
Kami juga menerima guru darjah baru, Tamil keturunan Ceylon. Namanya Mr. P.H Nesarathnam (Initial P.H bermaksud Peter Henry). Menurutnya nama bapanya Peter Hendry maka itulah dia gunakan initial P.H.
Berbanding dengan kami dari kelas SMC*, murid-murid baru itu menampakkan keterampilan diri yang jauh berbedza dari kami anak-anak kampung. Mereka berpakaian kemas, bersih dan lebih pintar dan fasih berbahasa Inggeris, menyebabkan kami rasa tergugat dan rendah diri. Selain dari itu, kali ini bagi pertama kalinya beberapa murid perempuan memasuki kelas kami. Zanariah, Shahrumbi dan Shantakumari bertukar dari Sekolah Convent di bandar. Mereka juga sangat fasih bertutur bahasa Inggeris, menyebabkan Guru Darjah kami selalu memperli kami budak-budak kampung sebagai 'Melayu kampung terlalu banyak makan belacan dan petai,' tidak boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik ikut sebutan phonetic yang betul.'

Mr P.H Nesarathnam pasik pada sastera barat teruatama, drama-drama William Shakespeare, sajak-sajak Umar Kayaam, Henry Wortsworth, Robert Louis Stevension, novel-novel Jane Austin dan karyawan-karyawan barat lain-lain. Tiap hari kami sering disogokkan dengan pengkesahan dari karya sastrawan-sastrawan barat itu. Mr Nesa sering bercerita tentang keperwiraan Hannibal & Bala Tenteranya, Keberanian Attila The Turks, kepimpinan Ibrahim Lincoln dan George Washington....dsbnya. Tiap akhir kelas kami dibekalkan dengan rangkap-rangkap sajak soliloquey Hamlet atau sajak-sajak R.L.Stevenson dan kata-kata bersemangat Geeorge Washington di medan pertemporan Gettysberg.

Memang diakui betapa sukarnya lidah Melayu anak kampong mengdeklamasikan barisan ungkapan poetic sastrawan-sastrawan barat itu menurut sebutan ponetic yang betul. Maka tidak heran jika dilabel sebagai 'lidah Melayu Kampung sangat keras kerana terlalu banyak makan belacan dan petai.'

Berkenalan dengan rakan sakelas dari pelbagai kaum ini, sangat menyeronokkan kami. Mereka: Maniam, Teik Sun, Bong Hong, Dayananda, Ikram & Rashid (Keturunan Pakistan) dan Shantakumari (murid perempuan) mewarnai pergaulan kami. Paling kurang, berkenalan ikrab dengan mereka ini membuatkan kami murid-murid Melayu Kampong terpaksa berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Tidak ada jurang perkauman antara kami. Kami bersatu dan bersekutu di bilik darjah, di padang permainan dan pada apa saja projek extra-carricular yang dilaksanakan saperti bersama dalam Pasukan Pengakap atau ketika pementasan drama dsbnya. Pada cuti-cuti sekolah kami menjalankan aktibiti melancung secara 'day trip' dengan basikal kedestinasi-destinasi tertentu.

Dalam kawasan sekolah baru ini terdapat sabuah lopak air ( kolam ) sabesar padang tenis. Kerana kawasan itu berpasir, airnya senantiasa jernih dan bersih. Selalunya pada waktu lepas sekolah atau pada hujung minggu kami banyak menghabiskan masa berkubang di kolam ini. Bagitu cara kami mengikat tali silaturrahim antara berbagai kaum murid-murid GES itu.
________________________________
SMC* - Special Malay Class: Kelas peralihan khas untuk murid-murid dari Sekolah Melayu, menuntut masuk belajar dalam aliran Inggeris.

Khamis, 16 Ogos 2007

GES Sungai Sumum


Perpindahan ke GES Sungai Sumun pada tahun 1954 sangat ditunggukan oleh semua. Guru dan murid-murid. GES Hutan Melintang sudah tidak boleh menampung tambahan kelas. Sekolah tersebut hanya bangunan yang mengandungi 2 bilik darjah sahaja. Bagi tahun kedua sekolah tersebut terpaksa mengadakan 2 sessi ia-itu sessi pagi dan sessi petang.

GES Sungai Sumum jaraknya 7 batu dari Hutan Melintang kearah Bagan Datoh. Untuk kesekolah, perlu menaiki bas dari perhentian bas Hutan Melintang, atau berbasikal menyusur jalan kampung. Kerana kurang kemampuan, aku berbasikal kesekolah. Dari rumahku di Parit 26 baruh aku berbasikal menyusur jalan kebun kelapa kejalan besar. Kecuali bas penumpang yang lalu lalang dalam jarak 1 jam satu dan lori pengangkut barang, jalanraya dari Hutan Melintang ke Sungai Sumum dan saterusnya ke Bagan Datoh agak lengang. Kadangkala dirasakan perjalanan berbasikal di lebuhraya tanpa kenderaan itu terlalu sunyi dan menakutkan. Kerana itu aku galakkan kawan-kawan yang tinggal di kampung-kampung didalam perjalananku, berbasikal bersama. Ismail Shaari salah saorang dari mereka. Kami selalu berkongsi basikal bersama, sama ada dia membonceng basikal aku atau sebaliknya. Bagitulah cara berulang alik kasekolah.

Lebuh raya itu membahagikan kawasan kebun kelapa Malay Reserve dan Estate Kelapa kepunyaan saudagar Inggeris. Di kebanyakkan Estate kelapa itu, disediakan oleh Saudagar-saudagar Inggeris Kedai Todi dan kerja-kerja memperoses todi dari nyira kelapa, khusus untuk pekerja-pekerja mereka, yang rata-rata keturunan Tamil. Bagitu caranya saudagar-saudagar Inggeris itu mengambil hati pekerja-pekerja mereka - dengan memberikan mereka segala kemudahan untuk mengendalikan Kedai Todi yang berlesen dan memproses todi. Selalunya kami bertemu pendayung basikal pekerja estate yang mabuk.

Dalam kebosanan berkayuh basikal itu, bertemu dengan buruh estate yang mabok sangat menguja kami. Mereka pantang dicabar untuk berlomba basikal. Mati-matian mereka mau menang. Bagitulah cara kami menghiburkan diri beradu kekuatan berkayuh basikal dengan buruh estate yang mabuk todi itu. Cara bagini akan mempercepatkan perjalanan untuk kami sampai ka destinasi. Selalunya kami yang menang, kerana kami punya strategi, satiap basikal akan menggunakan tenaga dua orang berkayuh sekali gus - pemandu dan pembonceng. Lagipulak, dalam kegairahan berlomba itu, kadangkala sipemabuk yang sangat teruja dan bersungguh untuk menang, bertindak diluar kelaziman biasa, iaitu dengan memotong ikut ruang yang sempit disabelah ikut kiri perjalanan. Pada banyak ketika basikal mereka tergelincir masuk lopak dibirai jalan. Ada yang sampai terjunam kedalam parit, atau pendayungnya tersungkur ditepi jalan terlalu mabuk untuk meneruskan perlombaan.

Bagitu lah cara kami menghiburkan diri di satiap perjalanan pulang dari sekolah. Selalu terujanya untuk berlomba tiap kali kami menemui buruh estate yang sedang mabuk.

ANAK TANJUNG BAYAN

Membesar di Resab Melayu ditengah masyarakat yang daif.

Mengenai Saya

Foto saya
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.