Rabu, 3 Februari 2010

Mengenang Kembali Aruah Yong

Aku masih menangisi kepulangan kerahmatullah kakak tuaku Yang Kalsum tanggal 2hb.Muharram 1431H baru 45 hari lalu. Pagi itu hari Sabtu 19hb.Disember 2009 aku terima berita sedih itu dari anak saudaraku di Tanjung Bayan. Beliau kembali kerahmatullah ketika berusia 75 tahun.


Baru beberapa hari sabelumnya aku mengingati beliau. Aku teruja ingintau sama-ada sesuatu telah dilakukan keatas kebajikan beliau sebagai saorang ibu tunggal dan miskin tegar.


Sepanjang masa aku membesar bersama allahyarhamah. Kakaku Salmah (aruah) hampir sebaya dengan beliau. Dan mereka bertiga Yong Kalsum, adiknya Yang Shamsiah (aruah) dan kakakku Salmah sepupu akrab sepermainan. Kami di besarkan di Kampung Tanjung Bayan. Beliau tidak pernah bersekolah. Bagitu juga kakakku dan adiknya Yang Shamsiah. Zaman itu anak-anak perempuan tidak digalakkan bersekolah. Tahu membaca Al'Qur'an, sadikit sebanyak pelajaran agama, pandai memasak dianggap memadai untuk menjadi isteri yang soleh. Mereka senantiasa di pingit keluarga. Keluar rumah mesti berteman, walaupun untuk ketalaga mandi.

Di atas plot Tanah 2 Baris pusaka peninggalan aruah Atok telah didirikan rumah-rumah kami. Rumah Bapak dibaruh berhampiran muka jalan dan Rumah Uda (ibu Yong Kalsum dan Yang Shamsiah) bersempadan dengan rumah kami. Manakala rumah Mak Alang jauh bahagian darat, di hujung plot tanah 2 baris kelapa sederet yang membanjar dari baruh kedarat itu. 


Terdapat sabuah perigi dibahagian tengah tanah 2 baris itu. Di situ ketiganya kerab menghabiskan masa, membasuh pinggan mangkok, pakaian dan mandi manda. Kadangkala kenakalan mereka sebagai remaja kampung, menguja mereka untuk menangkap ikan puyu yang membiak dalam telaga itu.


Sebagai ibu tunggal mata pencarian Uda mengambil upah seraya di sawah-sawah. Pada tiap musim menuai Uda akan membawa kedua mereka bersamanya bertandang jauh ke kawasan sawah sama-ada di Sungai Manik dalam daerah Hilir Perak atau di Sungai Besar di Selangor. Olehkarana pesawah di Sungai Besar itu keluarga leluhur kami juga, ada ketikanya Emak dan Bapak bawa kami melawati mereka. Aku masih ingat, kami terpaksa bersampan mudik kehulu Sungai Bernam sejauh hampir 10 batu, mendarat dipengkalan keluarga Bapak di Bagan Tunjang (kini bersebelahan Jambatan besar yang menghubungkan Negeri Selangor dengan Perak di Sabak Bernam), kemundian berjalan kaki melalui denai yang sempit ke Sungai Besar, sejauh lebih 10 batu juga. Sangat memenatkan. Walaubagaimana pun, bermain ditengah-tengah sawah padi yang sedang menguning sangat menguja aku. Terutama berpeluang ikut kakak-kakak ku menjerat burung wak-wak atau menangkap ikan sepat dan puyu di peparitan berhampiran disekitar sawah itu.

Pada ketika-ketika di luar musim menuai Uda dan 2 anak perempuannya ( Yong Kalsum dan Yang Shamsiah) akan berkerja di salai kopra Bapak, atau mengerjakan Tanah Tol di Parit 23 baruh bertanam ubikayu dan sayur-sayuran. Bagitulah kehidupan tiga beranak ini.


Apabila keduanya mendirikan rumah tangga, Yong Kalsum tidak mempunyai anak. Beliau mengambil Hajar sebagai anak angkat. Yang mempunyai beberapa orang anak - lelaki dan perempuan. Allahyarhamah Yang Shamsiah telah kembali kerahmatullah semasa usia masih muda dan tidak sempat melihat anak-anaknya membesar.


Kembalinya kerahmatullah Uda, menjadikan Yong sebatang kara. Beliau menyambung hidup mengunakan skil yang ada.


Walaupun hidup sepanjang masa dalam kedaifan dan miskin tegar, tidak pernah sekali ku dengar Yong Kalsum bersungut akan nasib malangnya. Munkin beliau telah menerima hakikat, suratan hidup sademikian yang perlu beliau tempuhi, dan hidup demikianlah yang beliau terima. Beliau selalu 'positif' dan tidak penat berusaha. Syukur alhamdullillah beliau telah sempat mengerjakan Rukun Islam Ke-5 di Mekkah, dengan dana yang munkin telah beliau kumpulkan sepanjang hayatnya.

Semasa menzairahi jenazah allahyarhamah, pada pagi Sabtu 19hb.Dis itu, aku dapati aruahnya sedang berusaha membaik pulih pondok kecil yang telah beliau diaminya selama ini di tanah tol Parit 23 baruh itu.


Kini rumah itu tinggal kosong dan tidak berpenghuni.


Alfatihah untuk Yong Kalsum, Salmah dan Yang Samsiah.....3 sepupu yang membesar di Tanjung Bayan, dan yang tidak pernah mengenali kemewahan negaranya.

Khamis, 24 September 2009

ALFATIHAH UNTUK WAHID

Alfatihah. Samoga Allah Rahmati Rohnya, Dan Menempatkannya Dikalangan Roh Mereka Yang Beriman. Amin.

Hari ini aku menangisi kematian saorang ahli keluarga ku. Allahyarham Abdul Wahid Mohiddin adik sepupuku telah kembali kerahmatullah jam 1.45 pagi di Hospital Besar Ipoh dirawat 'sakit jantung dan melalui pembedahan hati.


Berita kegeringan beliau telah aku terima pada 19hb September 2 hari menjelang Idilfitri 1430H. Berita ini sangat mengejutkan aku. Aku sangat berharap akan dapat beraya bersama Allahyarham tahun ini. Itu janji beliau dalam SMSnya kepadaku pada 17hb.September09 dikirim tepat 12.52 tengah hari, 3 hari sabelum Raya.“Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin. Insyaalah sampai ke Kelana Jaya. Dri Wahid dan keluarga,” tulisnya.

Paling seronok aku menerima berita dari allahyarham itu. Aku segera respond, beri dia alamat kediamanku di Kelana Jaya dan Nombor Telepon Rumah sekali, kuathir beliau tersesat jalan.
Munkin itu harapan terakhir darinya, untuk bertemu kami.

Semasa kecil dan remaja Allahyarham sangat rapat dengan aku. Semasa kecilnya allahyarham sangat dimanjakan oleh aruah
Bapak. Dan kami bertiga selalu ikut Bapak bernelayan di Sungai Bernam teruatama ketika hujung minggu atau cuti sekolah.


Ketika menceritakan keakraban kami kepada anak-anak dan cucu-cucu saudaraku (anak-anak dan cucu-cucu Salmiah dan Salbiah) pada Hari Raya pertama, aku ceritakan bagaimana saranan aruah Bapak kepada kami telah mencorak hidupku. Waktu itu kawasan Sungai Bernam tempat kami sedang bersampan itu sangat hampir dengan Kawasan Hitam ia-itu kawasan Perentah Berkurung kerana Dharurat. Sabuah kapalterbang RAF (Royal Air Force) sedang berlegar-legar di kawasan sekitar dan sekali sekala terbang rendah melintasi kami. Secara bersungguh aruah Bapak beritau kami; ‘Apabila besar nanti, jangan jadi macam aku, bersampan cari redzeki. Jadi macam mereka, kerja naik kapal terbang.’ Kemundian dia berpaling kearah Wahid. ‘Apabila kamu terbang depan rumah kami, lambailah Pak Andak,’ pintanya dengan nada bergurau.

Waktu itu umorku kira-kira 12 tahun dan Allahyarham Wahid lebihkurang 6 atau 7 tahun. Munkin Wahid tidak dapat memahami maksud gurauan Bapak itu. Juga aku. Waktu itu aku dalam Kelas Peralihan dan Wahid baru bersekolah. Lagipun kami anak kampong, mustahil akan menaiki kapalterbang. Usahkan untuk menaiki kapalterbang, melihatnya diudara, baru sekali dua.

Kemundian, apabila dalam tahun 1969 pertama kali aku keluar negeri atas biasiswa British Council ikut kursus Professional Penyiaran di BBC London, dan ketika kepalterbang BOAC berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ke destinasi Ceylon, Kuwait, Rome dan terus ke London, kebetulan penerbangan itu melintasi Sungai Bernam yang aku nampak jelas dari udara. Aku menangis sendirian. Ungkapan aruah
Bapak kepada aku dan Wahid 13 tahun dahulu itu, telah mengimbau kenangan nostalgiaku. Fikirku betapa bersyukurnya dan seronoknya aruah Bapak, jika dia dan Emak bersama anak dan isteriku berada di lapangan terbang menghantar aku sabentar tadi, dan bahawa aku kini sedang terbang melintasi Sungai Bernam untuk menjayakan kerjayaku sebagai saorang pendidik dan penyiar.

Aku berikrar dan bertekad untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawabku sebaiknya. Alhamdullillah 30 tahun dalam perkhidmatan dan saterusnya, berlaku harapan Bapak, aku sangat kerap berurusan kerjaku kesetiap pelusuk Negara dan dunia menaiki pesawat udara – pelbagai jenis dan cara.

Aku telah tinggalkan kampong ketika berusia 20 tahun menuntut di Kolej Perguruan dan saterusnya berkhidmat sebagai Pendidik di Ulu Terengganu. Aruah Wahid menyambung pelajaran menengah di Ipoh. Lulus Pendidikan Perguruan allahyarham bertugas di Perak, negeri kelahirannya. Aku dan Wahid jarang berjumpa. Sekali pernah aku pulang kekampung dan bawa dia melancung ke Kuala Trengganu dalam tahun 1968. Satelah itu kami semacam membawa haluan masing-masing, dengan hanya sekali sekala berhubung.


Berjauhan selalu mengimbau kerinduan. Sebagai abang sepupu tua, perasaan bagitu selalu kurasakan. Benakku merintih sendiri akan kerinduan itu.


Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sering ku cuba untuk bersama beliau. Cuma ta’kesampaian. Kadatangan aidilfitri tahun ini juga, ta'lupa ku hantar harapan untuk bertemu disamping ucap selamat kepada allahyarham.

Jadinya, apabila akhirnya allahyarham menyatakan hasrat “
untuk beraya di Kelana Jaya' di rumahku, betapa gembiranya aku. Segera ku berikan nombor telepon dan alamat rumahku di Kelana Jaya dengan pesan, ‘kalau ta’jumpa cari, talipon. Kami akan susul.’ Hajat kami untuk bertemu dan bercerita ‘masa kita diambang remaja dan dewasa’ saperti yang dibayangkan oleh Allahyarham dalam SMSnya (setahun dahulu) tanggal 27hbSeptember 08 itu, serta diperbaharui menjelang Aidilfitri tahun ini nampaknya tidak kesampaian juga - walau hasrat kami itu diperbaharui beberapa hari sabelum Raya tahun ini.


Allahyarham telah kembali menemui Allah.
Alfatihah.

Isnin, 14 September 2009

PELITA PANJUT & MERIAM KATAK

Malam 7 Likur di kampong secara langsung menguja semua penduduk. Tidak kira umor: tua, muda atau kanak-kanak. Tidak kira jentina: lelaki maupun perempuan. Semua bersiap sedia untuk mengalukan kadatangan Malam 7 Likur. Dikebanyakkan kampong Melayu, menyalakan pelita panjut bermula pada malam 25 Ramadhan. Tetapi persediaan untuk Malam 7 Likur telah bermula samenjak mula berpuasa lagi.
Pelbagai cara tiap keluarga bersiap menyambut kedatangan Shawwal dikediaman mereka. 25hb.Ramadhan 5 hari menjelang tibanya Shawwal, penduduk mula menyalakan tanglong menghisi bahagian anjung Rumah Kutai keluarga sebagai titik bermulanya Malam 7 Likur. Saterusnya mereka menyalakan barisan pelita panjut di sekitar halam rumah hingga kepintu pagar secukupnya untuk menambah kemeriahan dan kegemilangan kedatangan Aidil Fitri.
Aku membesar di sekitar tahun meleset 1950han di kampungku Tanjung Bayan. Idilfitri sepatutnya disambut sederhana oleh penduduk, sesuai dengan kemampuan tiap keluarga. Sepanjang ingatanku, tiada keluarga yang lebih mampu dari yang lain tinggal di Tanjung Bayan itu. Pun bagitu usaha untuk menyediakan dekorasi lampu panjut, tanglong, serta menghiasi rumah dengan langsir baru tidak diketepikan. Hari Raya di anggap satu-satunya hari perayaan yang sebaik mampu dirayakan sapenohnya.
Inistatif untuk menyediakan pelita panjut datang dari seluruh anggota keluarga. Tiap saorang akan membantu. Aku dan rakan-rakan mula mengumpulkan tin susu kosong dari tempat buangan dibandar. Untuk mengumpulkan seberapa banyak tin susu perlu jangka masa berminggu. Secara kreatif juga kami juga membuat pelita panjut dari batang buluh. Sumbu khas akan dibentuk sebaiknya, dan tiap batang buluh itu ditentukan tidak bocor apabila diisi dengan minyat gasoline. Batang-batang pokok langadai renek atau batang pelepah pokok piai akan digunakan sebagai tiang untuk disangkutkan pelita panjut diperbuat dari tin susu itu. Cara lain, kami gunakan tempurung yang disusun saperti mangkuk terdedah satinggi 1 meter. Tiap tempurung kelapa ditebuk lubang ditengah dan dicucuk dengan kayu. Tempurang senang dimakan api, dan selalu dijadikan bahan bakar untuk memasak. Kerana Bapak mempunyai Salai Copra, mendapatkan jumlah tempurung kelapa yang banyak tidak menjadi masaalah buatku. Pelita panjut dari tempurung kelapa ini menghasilkan obor yang besar. Cara lain menggunakan getah basikal, di kerat dan disepit dan dibakar dihujung buluh. Cara ini tidak bagitu popular, kerana kesukaran mendapatkan bahan bakar.
Menjelang Malam 7 Likur selalunya disambut dengan bakaran meriam carbide. Cara yang paling senang membuat meriam carbide dengan menggunakan buluh aur. Walaupun meriam buluh tidak mengeluarkan bunyi yang kuat, cara membuatnya lebih mudah dan popular dikalangan kanak-kanak. Bagi gulungan belia, mereka memilih mengunakan meriam besi diperbuat dari besi tiang telephone atau besi paip air dengan ukuran diameter 6 inci. Meriam besi sukar dibuat kerana perlukan peralatan khusus. Meriam besi boleh bertahan sampai bila-bila. Cara lain dengan membuat meriam tanah. Meriam jenis ini senang cara membuatnya. Meriam jenis ini dikenali sebagai Meriam Katak, kerana cara kedudukannya dan ia mengeluarkan asap saperti katak puru di beri hisap rokok. Kadangkala membina Meriam Katak berbaloi, kerana ia mampu mengeluarkan bunyi yang kuat dan bergema. Manakala selalunya ia hanya mendengkor mengeluarkan bunyi yang mendatar. Kawasan tanah liat sangat sesuai untuk membila meriam katak. Tanah akan dikorek dalam bentuk perparitan, 6 x 6 inci di muncung dan 6 x 18 inci dibahagian pundak. Peparitan ini kemundiannya di tutup dengan papan membentuk liang lobang meriam yang lurus dengan mukanya di perut bumi. Satu lobang kecil disediakan pada kaki papan tebal. Kemundian dihimpit dengan ibu lesong atau batu giling ( jika dapat di curi dari dapor Emak). Carbide ditempatkan dalam container tin sardine leper dan dimasukkan hingga kepundak meriam, bersetentangan dengan lobang kecil pada kaki papan itu. Sadikit air di curahkan masuk melalui lobang kecil tadi. Dan pada saat-saat tententu kemundiannya, apabila kedengaran bunyi mendesir dari bahan carbaid, dan lobang kecil itu nampak mengeluarkan asap puteh, lobang itu peledak. Apabila saja dinyalakan api gas yang dikeluarkan karbait akan terbakar dan mengembang. Ia mengeluarkan bunyi letupan yang sempurna. Bunyi dentuman mengegarkan kawasan, dan boleh didengar beberapa kilometre jauh. Ada kalanya, ledakan itu terlalu kuat hingga menghamburkan kawasan tanah sekitar, termasuk ibu batu giling atau ibu lesung dan pemasang peledak itu sendiri. Akan mencederakan sesiapa saja yang berada berdekatan.
Permainan meriam carbaid secara kecil-kecilan yang bermula sabelum Malam 7 Likur itu akan berterusan menguja ramai untuk bermain meriam carbaid. Secara langsung ia mencetus satu pertandingan tidak rasmi antara penduduk kampong. Matlamatnya, siapa atau kampong mana yang mempunyai lantunan bunyi meriam carbaid yang paling kuat dialah juara. Tidak ada peraturan, persepakatan antara yang bertanding diadakan. Masing-masing syok sendiri. Tidak juga ada sebarang hadiah disediakan. Ia cuma satu pertandingan yang tidak rasmi.
Kegaherahan pertandingan yang tidak rasmi ini, selalunya membuatkan gulungan belia dan dewasa penduduk kampong bersatu tenaga membina meriam carbaid yang lebih besar.
Selalunya batang palma Serdang hutan digunakan. Satu pasukan akan masuk hutan mencari pokok Serdang tua, menebangnya dan mengangkut batang sepanjang lebih 3 meter dan berat hampir suku tan itu pulang kekampung mereka. Kerja-kerja gotong royong dimulakan dengan diketuai pakar meriam tempatan. Kerja-kerja membelah batang serdang sabesar pemeluk manusia dewasa itu, memgorek hempulor (bahagian dalam) dan mencantumkannya samula dilakukan secara teliti dengan diiringi jampi serapah. Rotan sega diikat pada bahagian-bahagian tertentu dan tiap ikatan itu di perketat dengan pasak taji kayu. Kerja menyiapkan satu meriam batang Serdang memakan masa beberapa hari sahaja.
Meriam besar ini perlukan kira-kira 1 kilo carbaid untuk satu letupan. Dana sacukupnya akan dikumpulkan antara yang berminat, sabelum pelancarannya pada malam 27 likur – 3 hari menjelang raya. Kelantangan letupan dari meriam batang Serdang ini, bergantung pada ukuran panjang, besar lobang dan kedudukan dan besar lobang peledak. Ia akan dicuba sekali salepas Maghrib. Manakala penggunaan saterusnya, sebaik boleh salepas Solat Terawikh atau sabelum waktu sahur. Kedamaian suasana dikampung akan membantu jarak jauh lantunan bunyi ledakan meriam besar itu.
Itulah tradisi kampongku menyambut Malam 7 Likur. Pemasangan pelita panjut dan ‘perang’ meriam carbaid antara penduduk dan kampong memeriahkan kehadhiran Aidilfitri. Dharurat dan pengharaman bermain meriam dan membakar mercun oleh Kerajaan waktu itu, kurang dipatuhi, walaupun Negara dalam dharurat. Nasib menyebelahi kami kerana kampong Tanjung Bayan letaknya dalam Kawasan Putih – tanpa curfew.
Tradisi ini kabarnya berlarutan hingga masa kini. Cuma satelah 52 Merdeka, jika adapun pembakaran meriam di Tanjung Bayan, hanyalah mereka yang menggunakan meriam besi – munkin pesaka peninggalan aruah-aruahnya.
Sepanjang ingatan saya, tidak ada kemalangan besar berlaku disebab pengunaan bahan letupan saperti yang berlaku sekarang ini. Tidak ada berita kemalangan yang menyebabkan kehilangan jari. Kalau adapun, terdapat sagelintir berhari raya tanpa kening dek terkena sambar wap api dari ledakan meriam carbaid, atau luka terkena kaca dan duri ketika meredah kawasan buang sampah ketika mengumpulkan tin susu atau tin sardine. Tidak ada kesah rumah terbakar disebabkan salah letak pelita panjut. Jika adapun kesah kelecuran kecil berlaku, semata-mata kerana tersimbah minyak gasoline, selain dari kelecuran biasa tumit kaki tanpa kerana digigit kulit kasut tanpa stoking, satelah 1 hari berjalan keliling kampong ‘melaram’ kasut baru. Itu aje!!!
Untuk semua:
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

PS: Nasihat aruah Emak, lain kali sabelum pakai kasut sapu tumit dengan kulit bawang untuk hindarkan dari melecur digigit kulit kasut.


Rabu, 25 Jun 2008

PUAKA SIMPANG 3

Pada tahun 1955 keluarga ku pindah kerumah baru kami di Parti 26 baruh. Ia terpencil dari rumah-rumah lain dalam Kampung Tanjung Bayan. Itulah plot yang pertama yang Bapak mampu beli satelah berkerja keras menggunakan empat tulang untuk mengumpulkan wang sacukupnya. Dan di kediaman baru itulah Aku dan 5 adik beradik membesar. Rumah kotai yang di dirikan Bapak itu, antara yang terbesar di kampong kami. Pembinaannya di uruskan Bapak sendiri. Satelah siap terbina rumah di hujung tanah Resab Melayu itu di kenali sebagai Rumah Kotai Pak Andak Abas. Hingga sekarang ini satelah lebih 43 tahun didirikan, rumah itu masih tegak berdiri, walaupun banyak bahgian yang telah reput dan perlu diganti.
Olehkerana adikberadik ku telah meninggalkan kampung membina penghidupan keluarga masing-masing, rumah itu terpaksa di sewakan, dengan kadar harga yang termurah. Tidak sampai RM150.00 sebulan. Tujuan semata-mata Rumah Kotai Pak Andak Abas tetap dihuni dan tidak tinggal tanpa dijaga bagitu saja. Itu keputusan kami adik beradik.
Terlalu banyak pengalaman pahit manis yang Aku lalui membesar dirumah itu. Ada sabuah badminton court di halaman, tempat Aku dan kawan-kawan bermain badminton. Terdapat sabuah Salai Copra di bahagian hadapan bersetentangan dengan titian merentangi tali air yang dipenohi rumpai telepok – Parit No 26. Perangai Bapak suka duduk sendirian menguruskan Salai Copra hingga lewat malam. Sekali sekala dia akan batuk-batuk kecil ( sebagai isyarat kepada keluarga di rumah bahawa dia masih berada di Salai Copra itu) Pada ketika lain pula dia menghiburkan diri dengan berzikir. Parit No 26 panjangnya satu batu, terentang dari bahagian darat hingga kebaruh. Ia juga merupakan garis sempadan antara kawasan Resab Melayu seluas lebihkurang 35 hingga 40 batu persegi, dari penjuru plot tanah aruah Bapa menjulur kebarat ikut tebing Sungai Bernam, menyusur pantai Selat Melaka hingga ke pelabuhan Bagan Datok di kuala Sungai Perak, membentuk satu kawasan lidah tanah yang luas. Waktu malam sekitar kawasan rumah kami itu sangat sunyi. Satu batas bund terentang di hadapan rumahku, diguna penduduk kampung sebagai laluan penghubung antara pekan Hutan Melintang hingga ke pekan Bagan Datok sejauh 16 batu.
Kini laluan itu telah di turap asphalt dan boleh digunakan oleh kenderaan berat. Satiap kali aku pulang kekampung, aku tidak akan lepaskan peluang untuk memandu keretaku melintasi Rumah Kotai Pak Andak Abas menuju ke pekan Bagan Datok. Terlalu banyak kenangan, di satiap kawasan perkampungan yang aku lalui: kampong-kampung Sungai Pulau, Sungai Sumum, Sungai Batang, Sungai Tiang, Sungai Lancang, Rungkup, dan Bagan Datoh.
Di hadapan rumah kami terdapat satu Simpang 3. Jaraknya 500 ela, hanya dipisahkan taliair di pertemuan Jalan Batas Bund dan Jalan Parit No 26. Menurut penduduk tempatan, kawasan Simpang 3 itu berpuaka. Khabarnya dihujung plot tanah Bapak, terdapat sabuah Kubu Jepun dan di kawasan Simpang 3 itu juga tempat Tentera Imperial Jepun memancung penduduk tempatan. Di dalam belukar ditepi bund hampir tebing Sungai Bernam di penohi pokok piai, beluntas, dan berembang. Ada cerita mengatakan, dalam hutan piai itu pernah dijumpai beberapa tengkorak manusia. Terdapat sebatang pokok Semarak (flame of the forest) berhampiran Simpang 3 itu. Ia terletak di sempadan tanah pekuburan Hindu. Aku masih ingat tiap kali diadakan pengkebumian di Simpang 3 itu akan berlaku satu 'ritual keagamaan' yang sangat dramatik. Keranda yang membawa simati akan dipusingkan 3 kali, sabelum di usung ke tanah perkuburan. Terlalu dramatik melihat kaum keluarga si mati menangis-nangis dan meronta-ronta, dan satengahnya menghempas diri. Perlakuan adakalanya seronok di tonton, sabenarnya sangat menyayat hati bagi yang menyaksikan. Aku dan adikberadik cuma berani mengintai dari jauh melalui jendela rumah kami ritual yang berlangsung itu. Lagi menakutkan kami mayat itu diletak diatas usungan yang terbuka. Kepala mayat terdedah menadah kelangit. Sepanjang malam, hingga berminggu lamanya kami dapati sukar untuk melelapkan mata. Menebalkan lagi kepercayaan kami kepuakaan Simpang 3 itu.
Utih emak saudaraku tinggal di Parit 26 darat. Beliau saorang Bomoh, dan selalu ditemani Pak Utih untuk mengubat pesakit. Menurut Emak, satu malam beliau dikejutkan oleh Pak Utih minta pinjam parang panjang atau sebatang buluh. Katanya basikal mereka telah di liliti oleh saekor ular yang besar betul-betul di Simpang 3 itu. Mereka tidak dapat meneruskan perjalanan pulang dan Pak Utih bercadang untuk memancung ular itu dengan parang atau memukulnya sampai mati menggunakan buluh galah. Emak menasihatkan mereka supaya tidak berbuat demikian. Kata Emak, apa yang disangkakan ular itu adalah penunggu Simpang 3 tersebut. Nasihat Emak kepada mereka untuk minta maaf kepada penunggu Simpang 3 itu dan ular itu akan berlalu pergi. Pak Utih dan Utih ikut nasihat Emak. Apabila mereka ke Simpang 3 itu samula, ular yang dikatakan telah melilit basikal mereka, telahpun berlalu pergi. Pak Utih dan Mak Utih meneruskan perjalanan mereka pulang.
Kerajaan British Malaya telah mendirikan paip air untuk penduduk Parit No 26 betul-betul di Simpang 3 itu. Tiap lewat pagi, kakak bertugas ankut air dari paip itu kerumah dengan menggunakan bekasan tin minyak kerosene. Dua bekasan di isi penoh dan di kandar dibahu dengan menggunakan kayu pengandar. Sambil menunggu Kakak Aku bermain lastik. Saekor Burung Murai hinggap pada ranting pohon getah berhampiran dan berkicau riang menegur kami. Aku teruja dan terus melastik Burung Murai itu. Tembakan Aku mengena, dan Burung Murai itu menggelepar jatoh kedalam parit. Kakak yang sedang mengandar 2 tin penoh air paip cepat-cepat meletakkan bebannya dan menerkam Burung Murai itu. Burung itu munkin cedera tetapi tidak mati. Kakak segera memulihkan burung itu samula dengan mengurut-urut sayap dan paruhnya. Kemundian Kakak lepaskan burung murai itu. Burung itu terbang pergi. Menjauh. Kakak nasihatkan aku supaya tidak melastik burung lagi. Katanya burung itu tidak berdosa, tidak seharusnya ia diseksa.
Aku rasa berdosa. Aku menyesal. Malu pada Kakak dan keciwa atas kelakuanku, aku hilang selera untuk makan tengah hari itu. Petang itu aku rasa ta’sedap badan. Tekakku mual dan perutku sakit. Emak dan Bapa kuatir aku keracunan makanan. Kakak tidak berani menceritakan peristiwa aku melastik burung kepada Emak dan Bapak, kuathir akan dimarahi. Malam itu, Emak dan Bapak minta Utih membomohkan aku. Utih ramalkan ‘aku ditegor kuasa halus.’ Kakak menangis di dapor, mendengarkan ramalan Utih. Aku mula rasakan semacam ada makhlok ganas yang sedang mengelodak isi perutku, ketika Utih menyapu perutku dengan minyak kelapa dicampur pelbagai ramuan termasuk ludahan air sireh yang dimamahnya sepanjang masa membomohkan aku itu.
Babarapa hari kemundian aku mula pulih. Emak dan Kakak aturkan satu perkelahan di sungai untuk pulihkan selera makan ku. Seminggu tidak sempurna makan dan minum, menyebabkan mataku cengkung dan perutku kempis. Kepalaku selalu pening-pening teruatama apabila suhu badanku meningkat. Pada pagi hari ketiga aku sakit itu, demamku telah mula kebah dan kepalaku juga tidak sakit. Kata Emak, waktunya sangat sesuai untuk aku pulihkan selera makan dengan pergi berkelah di sungai.
Di dalam perjalanan dari rumah menuju ka Pengkalan, dan ketika melintasi Simpang 3 itu, saekor Burung Murai menyanyi-nyanyi riang di atas dahan pokok berhampiran. Aku rasa tidak tenteram. Aku rasa berdosa kerana menembak saekor Burung Murai ditempat yang sama. Kulihat bibir Kakak komat kamit, munkin sedang jampi serapah, atau munkin sedang meminta maaf kepada penunggu Simpang 3 itu. Tengah hari itu suhu badanku maik samula dan kepalaku pening. Rancangan untuk berkelah di sungai, terpaksa dibatalkan dan aku dipapah Kakak dan Emak balik kerumah samula.

Selasa, 1 Januari 2008

ANAK BERUDU & LINTAH

Seberapa boleh aku akan mengelak dari mandi ditelaga, walaupun berkubang ditelaga sangat menyeronokkan. Biasanya terdapat 2 buah telaga disatiap rumah di Resab Melayu kampungku. Satu telaga mandi dan satu lagi telaga untuk cuci kaki. Telaga untuk cuci kaki dilengkapkan dengan tangga untuk masuk kedalam air. letaknya berhampiran anjung. Telaga mandi tidak punya anak tangga. Letaknya dibelakang rumah, siap dengan pelantar dan dan ruang untuk bersugi. Air dari telaga mandi di ceduk dengan menggunakan baldi, dan tiap telaga mandi dipagar rapi supaya tidak dinajisi.
Bagi kanak-kanak mula belajar berenang digalakkan menggunakan telaga bertangga itu untuk mandi manda. Sasaorang boleh bergayut pada anak tangga itu. Sambil bergayut gerakkan kaki seandai orang berenang. Lama kelamaan dia akan menguasai skil berenang cara tersendiri. Bagitu cara kami belajar berenang.
Kakakku dan anak-anak dara lain suka main gelembung menggunakan kain basahan. Kain basahan itu dipakai secara ketang dada. Bahagian bawah akan ditelekupkan kepermukaan air.dan kedua-dua belah penjurunya cepat-cepat ditarik kebawah. Akan terbentuk gelembung angin membulat bagaikan perut orang busung. Gelembung angin itu dijadikan pelampung untuk berenang ketengah perigi. Hubaya kain gelembung akan terlucut dari pegangan dan akan mengeluarkan angin, membobok keluar, bunyinya kasar ‘semacam bunyi kentut pengidap buasir’.
Kemundian kita akan tercungap-cungap tenggelam ditengah perigi yang tohor itu.
Warna air perigi semacam kopi susu dan di selaputi kiambang. Untuk mandi manda, kiambang-kiambang itu hendaklah dikuak ketepi, buka ruang untuk sasaorang masuk berendam kedalam air. Waktu itu akan kelihatan timbul anak-anak berudu, hasil tetasan dari telur katak yang membueh dibirai perigi atau dari bawah anak tangga. Tiap saekor anak berudu, besarnya sabesar kuku jari manis orang dewasa, berwarna hitam dan berekor.
Kata mereka,apabila anak berudu cukup besar kepalanya akan berpisah dengan ekor. Kepala akan jadi anak katak, dan melompat naik ke daratan manakala ekornya tinggal dalam air dan membesar jadi ikan haruan.
Dalam lumpur dibawah kiambang itu juga terdapat lintah. Lintah boleh masuk ketubuh kita melalui dubur, jika kita mandi telanjang.
Kesah bagini, disebarkan luas kepada semua anak-anak, munkin untuk menghindar mereka dari berkubang sepanjang hari dalam perigi semasa orang tua tiada dirumah.
Apapun da’ayah gulungan tua itu, seberapa boleh aku akan mengelak dari mandi ditelaga tiap kali berkunjung ke kampong leluhur emak. Tertelan anak berudu akan mengeramkan anak katak dan anak ikan haruan, atau jika lintah masuk melalui lubang dubur, perut akan jadi buncit dan mengidap busung.
Tok Anjang mampu membina kolah simen dibawah rumahnya, untuk ditakung air hujan. Bagitu juga di rumah Tok Aji Wahid di Kampung Rungkup. Pastinya aku senang mandi air kolah dirumah Tok Anjang atau Tok Aji Wahid.
Maka itu tiap kali keluarga kami dijemput bermalam dirumah selain dari kedua mereka ini, aku akan merota ajak Emak dan Bapak balik kerumah Tok Anjang.
Anehnya hingga sekarang keluarga kami rata-rata tidak makan ikan haruan. Hingga besar, aku phobia untuk masuk berkobang didalam perigi.



*******
Semasa di kelas SMC (Special Malay Class) beberapa tahun kemundian, chegu pernah ceritakan, kesah saorang pesakit minta doctor bedah perutnya kerana dia percaya telah tertelan saekor katak.

“…….Saorang pesakit percaya dia telah tertelan saekor katak. Dia percaya katak itu sedang membesar , menyebabkan perutnya jadi busung. Pesakit itu pun segera menemui Doktor, minta perutnya di bedah. Satelah memereksa, Doktor dapati dakwaan pesakit itu tidak benar. Perutnya busung, akibat pemakanan yang tidak menentu dan seimbang. Tapi Si pesakit tetap meminta Doktor memngeluarkan katak itu. Walaupun berkali-kali diyakinkan Doktor tidak terdapat sebarang katak didalam perutnya, dan dakwaannya itu tidak benar, Sipesakit tetap mengunjungi kliniknya minta perutnya dibedah.
Doktor dapat satu helah. Dia minta pesakit itu datang samula hari pada berikutnya. Sembunyi-sembunyi, Doktor telah letakkannya saekor katak kedalam basin di bilik bedah kliniknya itu.
Pesakit pun dibaringkan diatas katil bedah. Doktor pura-pura tetapi secara bersungguh menekan perut pesakit yang kembung itu. Tiap kali, dicuba angin keluar membuak dari perut pasakit. Sajurus pesakit rasa lega dan pulih. Doktor pun mengeluarkan basin dari bawah pinggulnya. Melihatkan ada saekor katak didalam basin itu, pesakit kini yakin, itulah katak yang didakwanya sedang membesar dalam perutnya itu. Pesakit pulang dengan rasa puas hati.'

Yang membelenggu fikiran saya hingga ke dewasa ini, munkinkah ada kalangan kami pernah tertelan saekor dua anak berudu, atau lintah masuk kedalam tubuh melalui dubur.
Apapun; kami tetap berpegang kuat akan nasihat orang tua-tua: “apabila perut rasa tidak tenteram dan kembung salepas berendam lama dalam perigi, cepat-cepat telan air sireh banyak-banyak. Barang hidup yang ta’sepatutnya berada dalam perut, akan segera mabuk dan mati akibah campuran kapor dan rasa pahit gambir. Kemundiannya dan keluar dengan najis kita.” Rata-rata kami amalkan itu. Benarkah ia berkesan?

Wallahualam.

Sabtu, 29 Disember 2007

Keluarga Emak

Leluhur Keluarga Emak

Antara bagitu banyak perkampungan di Resab Melayu itu, Kampung Tanjung Bayan dan Kampung Sungai Lancang tempatku membesar. Jarak antara keduanya kira-kira satengah berkayuh perahu hilir Sungai Bernam ikut arus air surut menuju ka Selat Melaka. Jika berkayuh pada waktu subuh dari Tanjung Bayan, menghilir ikut surut pagi menuju kuala Sungai Bernam akan sampai ke Bagan Sungai Tiang sabelum tengah hari. Kemundian jalan kaki meniti  batas ‘bund’ ke Kampung Sungai Lancang. 


Di situ letakkan perkampungan kelompok keluarga Emak. Disitu kelompok Tok Aji Ali aruah ayah Emak membuka perkampungan. Kini di Kampung Sungai Lancang tinggal keluarga Tok Anjang, Tok Uchu, Tok Andak, Tok Zaharah, dan ramai lagi ‘sepupu sepapa’ leluhur keturunan Mak.


Sambil menapak melalui jalan jalan kampung arah ke Sungai Lancang, tiap kali kami melintasi kediaman keluarga, dalam kegaeharannya Bapak akan menlaung memberi salam, mengumumkan ketibaan kami itu. 


Dan tanpa usul pereksa penghuni rumah, lantas bertanya: “Siapa tuu?”


“Kami dari Tanjung Bayan,” laung Mak jika suara yang bertanya itu perempuan. Selalunya kaum perempuan tinggal di rumah waktu siang, kaum lelaki mencari redzeki di luar. Bapak dan Emak pasti itu.

“Bila sampaiiii,” suara itu memanjang dan bernada ceria dilontarkan keluar dari arah dapor. Di ikuti susup sasap bunyi beberapa tapak kaki menerpa kebahgian anjung, diikuti bunyi jejari anak tingkap dibuka.


“Ohh Kak Long dan Abang Andak ke!!!. Takke’ singgahhhhhh,” suara memanjang tadi kini sudah menjengokkan muka di jendela di anjung. 



Kakak selalu ketawa-ketawa kecil, geli hati lihatkan muka-muka dijendela itu puteh melepak ditampal bedak sejuk. Kadangkala ada dua tiga muka, menjengok sileh berganti dimuka jendela itu, ghaerah mengintai kami. 


Pernah aku menonton persembahan bangsawan bersama keluargaku di Great World Amusement Park Teluk Anson sabelumnya. Bagiku kemunculan muka melepak puteh saperti dari jendela di kampong Sungai Lancang itu, sama saperti cara badud bangsawan menjengokkan muka dicelah-celah tirai panggung, sabelum keluar ketengah gelanggang menghiburkan penonton dalam ‘extre turn.’

Bagaimana pun emak tidak jawab soalan pertama, atau pelawaan dari tuan rumah itu. Sebaliknya akan tercetus di mulut emak,”Nak kerumah Tok Anjang,” jika rumah Tok Anjang yang kami tuju.


Memadai dengan jawapan itu. Pasti malam nanti mereka akan bertandang kerumah Tok Anjang untuk mengalukan kedatangan kami.


Biasanya kunjungan keluargaku ke Sungai Lancang akan memakan masa yang lama. Munkin sampai seminggu dua.


Tiap saudara terdekat akan keluargaku lawati secara bergilir. Tidur semalam dua dirumah rumah mereka. Yang pasti Rumah Tok Anjang tumpuan utama. Kerana dia keluarga lelaki yang tua, atau munkin kerana Rumah Kutai Tok Anjang besar. Atau munkin Tok Anjang diakui terkaya dalam rumpun leluhur ibu. Aku tidak pasti itu. Bagiku keputusan jadikan Rumah Tok Anjang tempat persinggahan pertama kami sesuatu yang menyenangkan. Kerana di rumah Tok Anjang ada peti nyanyi. Satelah seharian letih dibuai ombak dan otot-otot keras berjalan kaki bermalam dirumah Tok Anjang pasti menghiburkan.


Terdapat sabuah Kedai Gunting dipintu masuk kerumah Tok Anjang. Ketika Bapak beri salam, aku cuba elak memandang kearah kedai itu, kuathir bertemu mata dengan Tok Ucu, adik bungsu Tok Anjang.


Tok Uchu satu-satunya tukang gunting di Kampung Sungai Lancang. Pasti Tok Ucu akan pelawa untuk cukur rambutku. Membenarkan kepala dibotakkan oleh Tok Ucu bermakna menanggung seksa kesakitan dari pisau cukurnya yang tumpul. Kali terakhir aku serahkan kepalaku untuk dicukur botak oleh Tok Ucu, sepanjang malam ku rasa pedih garis-garis luka dikulit kepalaku. Mandi pertama salepas bercukur, paling menyeksa. Kulit kepala rasa pedih apabila di sapu air limau nipis, untuk menghapuskan kelemomor disamping, air telaga yang senantiasa kelat itu memedihkan mata. 



Tok Uchu akan tinggalkan setompok jambul didahiku. Kata Tok Uchu jambul didahi itu akan menghindar aku dari di goda syitan dan di jangkiti penyakit. Apabila ku renung wajahku dalam cermin ku dapati mukaku sangat melucukan, ala badut sarkas,

Dari mana Tok Ucu belajar ilmu itu, aku tidak pasti. Tapi itulah kata-kata Tok Ucu kepada Bapak ketika pisau cukurnya rakus membotakkan kepalaku. Jika aku tidak memakai sebarang tangkal di leher, Tok Ucu pasti akan kalungkan satu tangkal percuma, supaya aku ‘cucu kesayangannya’ akan kebal dari gangguan semangat halus.


Kata Tok Anjang segalanya itu adalah karut marut, kurafat dan bidaah semata-mata. Tapi Tok Ucu tetap dengan caranya.


Tok Anjang telah menunaikan Rukun Kelima. Dia dikenali di Sungai Lancang sebagai Haji Munaf. Tapi Tok Anjang tidak pernah ku lihat pakai serban saperti yang lain-lain. 



Bergelar Haji mempunyai kedudukan ‘protokol’ istimewa dan selalunya diberikan satinggi penghormatan oleh rata-rata masyarakat kampong. Dimajlis-majlis kenduri mereka mengepalai hidang. Didudukkan sebaris dengan Tok Imam, Tok Sidang atau Penghulu. Makan satu hidang, biasanya dalam talam tembaga, beralaskan ‘kain seperah bertekat warna kuning’. 


Tapi Tok Anjang ta’suka semua itu. Katanya, dia tidak mau didewakan atas alasan dia saorang Haji. Haji tuntutan Allah untuk tiap umat Islam menunaikannya. Mengerjakan Haji ketanah suci Mekah Al Mukaramah rukun wajib untuk semua penganut. Selesai ibadah haji tidak memestikan sasaorang mendewakan dirinya minta disanjung dan dihormati, walaupun ramai bekas jemaah anggap mereka telah menduduki arysh yang tinggi dalam masyarakat apabila pakai serban dan bergelar haji. Kata Tok Anjuang lagi, kelakuan membanggakan diri itu di murkai Allah. Itu takbur namanya. 


Munkin kerana pendirian Tok Anjang itu dan sikapnya suka merendah diri menyebabkan Emak dan Bapak memilih untuk kerumah Tok Anjang sebagai tempat persinggahan pertama tiap kali kami ke Kampung Sungai Lancang.


“Ehh kamu. Tuju rumah orang kaya aje,” sindir mereka apabila sampai giliran kami bertandang kerumah mereka pula.

Apapun anggapan mereka itu pada pengamatan ku, keluarga kami sangat disayangi oleh keluar leluhur Emak di Sungai Lancang.


Emak sangat bangga dengan leluhurnya. Emak selalu kata, ‘waris warah’nya terdapat dari Kampung-kampung Sungai Tiang, Kampung Sungai Baru, Sungai Lancang dan Rungkup. “Perjalanan kampong dari Sungai Tiang ke Rungkup, tiap rumah yang ditemui adalah ‘waris warah’ emak. Singgah saja dan kamume akan dilayan mereka sebaiknya,” emak selalu berpesan. 



Aku akui pengakuan Emak itu. Emak tidak bermain kata. Tiap kali kami ke Sungai Lancang, emak pastikan kami juga kerumah keluarga di Sungai Tiang, Sungai Baru dan Rungkup. Jarah antara Sungai Tiang dan Rungkup hampir 4 batu, kira-kira 7km perjalanan sekarang.

Di satiap kampong itu, terdapat pecahan institusi leluhur keluarga Emak. Tiap satu institusi itu berketua, saperti Tok Anjang mengetuai institusi keluarga emak di Sungai Lancang. Di Sungai Tiang ada Tok Uda, di Sungai Baru Tok Aji Sarif, di Rungkup Tok Aji Wahid. Jadinya tiap kali keluarga kami bertandang ke Sungai Lancang, wajib bagi kami membahagikan masa untuk tinggal semalam dua di Sungai Tiang, Sungai Baru dan Rungkup.


Selasa, 28 Ogos 2007

Keterampilan Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar di semua Government English School. Pepereksaan LCE yang akan kami duduki pada tahun 1957, adalah dalam bahasa pengantar Inggeris. Kumpulan kami di GES Sg Sumun, gulungan yang terulung menduduki pepereksaan LCE (Lower Certificate Of Education) itu. Cabarang yang dihadapi oleh Guru Besar dan guru-guru di GES itu, untuk meningkatkan penguasaan kami menggunakan Bahasa Inggeris. 2 tahun dalam kelas peralihan SMC 1 & SMC 2 dirasakan tidak mencukupi bagi budak-budak kampong saperti kami dari Sekolah Melayu, berbanding mereka yang terdidik di Sekolah Inggeris dari Primary 1 hingga Primary 5. Perbedzaan itu sangat ketara apabila kami ‘budak-budak kampong dari aliran Melayu’ ditempatkan satu darjah dalam Standard 6 dengan ‘murid-murid bandar dari aliran Inggeris.’
Bagi Guru Besar Chegu Mustapha K. hanya dengan menguasai asas Bahasa Inggeris sebaiknya, penentu pada kejayaan cemerlang dalam pepereksaan awam itu.
Bertutur dalam Bahasa Inggeris di wajibkan bagi semua murid. Bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing selain dari Bahasa Inggeris akan di denda 5 sen. Guru-guru dan Prefect sekolah diberikan tanggungjawab sapenoh untuk memantau pelaksanaan arahan Guru Besar itu sebaiknya. Yang didapati bersalah akan di hadapkan kehadapannya. Chegu Mustapha K. tidak akan ragu-ragu menjatuhkan hukuman denda bagi kesalahan pertama dan sepanjutnya akan memanggil ibubapa atau penjaga bertemu dengannya di sekolah bagi kesalahan kedua dan saterusnya.
Satu hari tanpa pengetahuanku bapaku telah datang ka Sekolah bertemu dengan Guru Besar. Aku jadi kalut bila diberitau akan kedatangan bapaku itu. Munkinkah aku telah dilaporkan Prefect kerana bertutur dalam Bahasa Melayu di sekolah. Sepanjang ingatanku, tidak pernah sekalipun aku ditangkap kerana kesalahan itu, walaupun pada banyak ketika kami terbawa-bawa bertutur Melayu sesame kami. Tapi kenapa bapaku dipanggil bertemu dengan Guru Besar itu?
Aku rasa serbasalkah apabila dipanggil menghadapi Guru Besar serta merta pagi itu. Ketika aku dibenarkan masuk mengadap Chegu Mustapha K. bapaku sudah berada dihadapannya. Semacam mereka berdua telah selesai berbincang dan kini sedang menunggu akan kedatangan aku itu sahaja. Apakah yang telah mereka bincangkan sabelum itu, diluar pengetahuanku.
“Is it true, that you want to leave school?” suara Chegu Mustapha K. Guru Besar jelas ku dengar menyapa aku. Aku tersentak, terkedu ditempatku berdiri itu. Siapa kata aku hendak berhenti sekolah, jerit batinku. Ta’pernah terlintas dalam hatiku, akan meninggalkan GES Sungai Sumun itu.
“No Sir. That is not true,” jawabku takut-takut. Mataku mencuri pandang kearah ayahku. Maka itu barangkalinya Guru Besar panggil ayahku bertemu dengannya pagi itu.
“Your father said that you’re not learning anything,” sambungnya. “Your father said that he should leave school and help him support the family.”
Mustapha K. senyum sinis. Aku rasa satu hukuman berat telah dijatuhkan kepada aku, tanpa mengetahui apa sabenarnya kesalahan ku itu. Aku mesti bertindak membela diri. Ku pandang bapaku dan kemundian Guru Besar dengan pandangan hiba.
“Please sir. I don’t want to leave school,” rayuku sedih.
Mereka kemundiannya berpandangan saketika.Kemundian ku lihat Guru Besar bercakap dengan ayahku pula.
“Macam mana Pakcik. Jadike dengan keputusan Pakcik nak keluarkan Aziz dari sekolah ini?”
Guru Besar minta keputusan dari ayahku. Aku rasa pagi itu sangat malang bagiku. Ayahku tidak berfikir panjang untuk menjawab, memberikan keputusannya.
“Sekarang saya dah dengar sendiri. Saya tidak ragu lagi Chegu. Aziz mesti terus belajar di sini.” Ayahku bersuara.
Aku jadi tenggelam punca, apa sabenarnya telah berlaku.
“Selama ini saya ingat dia buang masa tidak belajar Chegu. Hari ini pertama kali saya dengar dia cakap Orang Puteh dengan Chegu. Jadi ta’sia-sia dia masuk Sekolah Inggeris,” putus ayahku.
Guru Bersar tersengeh. Senang sekali dia mendengarkan keputusan ayahku itu.
Guru Besar membenarkan aku kembali samula kakelasku, semantara dia meneruskan perbincangannya dengan bapaku. Apa yang mereka bincangkan saterusnya, aku kurang pasti. Tapi, pada pengamatanku lama juga bapa ku berada dibilik Guru Besar itu sabelum pulang.
Malam itu ibu beritau aku bahawa bapaku paling gembira salepas bertemu dengan Guru Besar. Menurut ibuku selamanya dia memang mengharapkan aku bersungguh belajar di Sekolah Inggeris itu. Dia tidak sanggup terus-terusan mendengar tohmah dan suara-suara jengkel dari jiran sekampung, mengatakan aku membuang masa dihantar ke Sekolah Inggeris, walhal tenagaku boleh digunakan membantunya berkerja kampong.

“Pak Uteh kamu kata jika kamu teruskan belajar di Sekolah Melayu sekarang kamu dahpun lulus Pepereksaan Darjah 6 dan jadi Guru saperti sepupu kamu Shafiee dan abangnya Hashim. Kerja guru senang dan mulia. Tiap bulan ada gaji.” Ibuku menjelaskan sambil tangannya rancak menganyam tikar mengkuang. “Bapak kamu telah termakan hasutan mereka itu, juga pendapat Pak Uteh. Kata mereka dah 3 tahun bersekolah Inggeris, kamu tidak pernah sepatahpun boleh bercakap Bahasa Orang Puteh.”
Bapaku setuju itu, lalu dia ambil keputusan untuk mengeluarkan aku dari GES Sungai Sumun hari itu. Kini satelah bertemu dengan Guru Besar dan mendengar sendiri perbincangan aku dengan Chegu Mustapha K. bapaku tambah yakin bahawa keputusannya untuk menghantar aku ke sekolah aliran Inggeris 3 tahun lalu itu berbalol. Beliau berikrar akan akan patuh pada nasihat Guru Besar Chegu Mustapha K. untuk aku meneruskan pelajaranku ka sekolah Inggeris di bandar Ipoh atau Teluk Anson satelah menduduki pepereksaan LCE tahun 1957 nanti, untuk pepereksaan Cambridge School Certificate of Education dua tahun kemundiannya pada tahun 1959.

ANAK TANJUNG BAYAN

Membesar di Resab Melayu ditengah masyarakat yang daif.

Mengenai Saya

Foto saya
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.