Minggu pertama Januari 1948 aku rasmi menduduki Darjah 1 satelah beberapa minggu menduduki Darjah O pada bulan Disember 1947.
Sekolah Melayu Sungai Pulau berupa sabuah bangunan kayu, bertiang batu, berlantai papan, dinding bangunan diperbuat dari anyaman buluh dan beratap nipah. Besarnya boleh memuatkan 4 bilik darjah. Di tengah bangunan ini, terdapat sabuah tangga batu satinggi kira-kira 4 kaki. Di hadapan tangga batu itu menganjur ke sabuah halaman besar, tempat murid-murid ‘beratur’ (assembly) sabelum masuk kelas. Ada dua batang tiang bendera satinggimkira-kira 20 kaki tiap satu berdiri tegak, sejajar dan megah dihadapan tangga itu. Pada tiang pertama berkibar bendera berwarna Puteh, Merah dan Biru[i] dan pada tiang kedua bendera warna jalur Puteh,Kuning dan Hitam[ii].
Kedua-dua kain bendera itu telah lusuh dan warnanya pudar. Barangkali terlalu lama dipuncak tiangnya. Pada ketika-ketika angin bertiup kencang, kelihatan kesan carik-carik halus pada kedua-dua lembaran kain bendera itu.
Pagi itu pertama kali aku berbaris bersama murid-murid yang lain dihadapan dua tiang bendera itu, menyanyi beramai-ramai lagu “Allah Selamatkan Sultan.[iii]”
Tiap murid adalah digalakkan berpakaian lengkap uniform sekolah: baju putih, seluar biru, berkasut dan bersetokin puteh.
Tapi munkin kerana kemiskinan, kebanyakkan mereka tidak memenohi syarat itu. Mereka kesekolah berseluar dan pakai baju biasa, tidak berkasut (berkaki ayam)[iv]. Hanya sebahgian murid Darjah 3 dan sebilangan besar murid dalam Darjah 4 sahaja yang mampu berpakaian uniform sekolah dan berkasut.
Bangunan sekolah itu boleh muat 4 darjah, dari Darjah 1 hingga ka Darjah 4. Guru Besar Chegu Ayub adalah Guru Darjah 4. Di satu sudut bilik Darjah 4 itu, letaknya pejabat Guru Besar,yang dipisahkan oleh pemidang satinggi 4 kaki. Murid yang berjaya ka Darjah 5 akan berpindah ka Sekolah pusat, dipekan Hutan Melintang, di pekan Selekoh ataupun di pekan Bagan Datoh.
Terdapat kuaters guru dua pintu dalam kawasan sekolah. Satu yunit di diami Guru Besar dan satu yunit lagi untuk Guru-Guru Bujang. Termasuk Guru Besar terdapat 4 orang guru di Sekolah Melayu Sungai Pulau waktu itu. Guru Besar Chegu Ayub menurut Pak Uteh lulusan Maktab Perguruan Tanjung Malim, kelulusan yang paling tinggi. 3 guru bujang itu kesemuanya Guru Pelatih.
Dalam keluarga kami Pak Uteh sangat peka pada ehwal pendidikan. Anaknya yang tua dari isteri pertamanya Wazir waktu itu Penuntut Tahun 2 Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim. Anak keduanya perempuan kabarnya sedang menuntut agama di Sekolah Agama Al Mashoor, Pulau Pinang. Hashim anak pertamanya dengan isteri baru (adik bapaku) sedang dalam Darjah 4. Tahun depan tamat Darjah 5, Hashim dijangkakan akan jadi Guru Pelatih pula.
Pak Uteh selalu kata, dia mau semua anak lelakinya jadi chegu[v]
Di sekolah kami tidak ada Tukang Kebun. Tiap pagi sabelum ‘assembly’ murid-murid didalam Darjah 1 dan 2 dikahendaki tiap saorang mencabut bunga rumput dari padang dihalaman sekolah itu. Tiap saorang mesti berjaya mencabut dua gengam (gemal) ‘kemuncup’[vi]. Untuk mendapatkan dua gemal ‘kemuncup’ memakan masa hampir satengah jam. Apabila sasaorang murid itu telah berjaya mengumpul 2 gemal kemuncup baru dia dibenarkan bersihkan diri ditelaga sekolah dan bersedia untuk beratur apabila loceng di bunyikan. Murid-murid dalam Darjah 3 dan 4 dikahendaki berkebun. Mereka tidak perlu cabut ‘kemuncup’. Mereka diwajibkan menguruskan batas kebun mereka. Markah terbaik akan diberi kepada batas kebun yang subur. Pada hujung tahun, diadakan festa pertanian di Sekolah Pusat. Hasil kebun saperti buah labu, atau petola atau bende atau kacang panjang akan dipertandingkan di festa itu.
Disiplin sekolah sangat ketat. Murid yang engkar akan didenda untuk membersihkan tandas sekolah.
Perjalanan berbasikal dari Tanjung Bayan ke sekolah di Sungai Pulau terlalu mencabar teruatama dalam musim hujan. Hanya 3 orang murid dari Kampung Tanjung Bayan bersekolah di Sekolah Melayu Sungai Pulau itu; Hashim, Shafie dan aku. Perjalanan yang jauh itu sangat memenatkan, teruatama pada musim hujan. Menolak basikal melalui jalan berlumpur sambil berpayungkan pelepah daun pisang untuk mengelakkan hujan tidak mudah untuk kanak-kanak dalam Darjah 1 atau Darjah 2, saperti aku dan Shafie. Jika pagi itu pakaian kami basah dek hujan, chegu tidak akan benarkan masuk belajar sahingga pakaian itu kering. Jika nasib baik, matahari akan menjengokkan muka dan kami boleh berjemur dihalaman sekolah untuk keringkan pakaian. Jika hujan berterusan, kami terpaksa menunggu di bawah bangunan sekolah. Akibah berpakaian basah: sakit perut, selsema, demam, dan penyakit kulit – idapan penyakit yang biasa kami tanggung.
Sebaik boleh kami tidak mau berjemur ditengah padang atau menunggu dibawah bangunan sekolah jika pakaian kami basah, kerana akan jadi bahan ejakkan murid-murid lain.Kata mereka kerbau suka berjemor mengeringkan diri ditengah padang. Kata kami pula, binatang yang takut basah kena hujan adalah kambing. Ejek mengejek ini akan berlarutan sahingga lepas sekolah dan ketika berjalan pulang kerumah.
Selalunya ejek mengejek bagini akan berakhir dengan perbalahan kecil, bertumbuk sesama kami. Secara langsung wujud kumpulan Anak Melayu dan Anak Jawa di Sekolah Melayu Sungai Pulau.
.........................................................................................
[i] Bendera Union Jack: Merah,Puteh dan Biru.
[ii] Bendera negeri Perak: jalur Puteh,Kuning dan Hitam.
[iii] Di ‘assembly’ sepatutnya dinyanyikan 2 lagu, ia-itu lagu “God Save The Queen” semasa menaikkan berdera Union Jack dan di ikuti lagu “Allah Selamatkan Sultan” ketika bendera Negeri Perak di naikkan. Tapi munkin kerana sekolah itu jauh dari bandar, guru besar buat keputusan tidak diadakan upecara menaikkan bendera, dan memadai dengan menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Sultan” sahaja. Munkin juga kerana Guru Besar Chegu Ayub lulusan SITC pengaruh dari perjuangan anti-penjajah semasa di kampus SITC menyebabkan beliau tidak menyanyikan lagu “God Save The Queen” itu. Wallahualam.
[iv] Kaki Ayam: terma yang digunakan jika sasaorang tidak memakai kasut.
[v] Pak Uteh punya 4 anak lelaki dan 2 anak perempuan: Wazir,Hashim,Shafie dan Wahid semua jadi guru. Anak perempuan pertama (kabarnya) jadi Ustazah. Anak bungsunya (perempuan) Norliah jadi suri rumah
[vi] Kemuncup – bunga dari sajenis rumput yang membiak ditanah lapang. Bunga kemuncup ini akan mencucuk dan senang melekat pada kaki seluar atau stoking, dan sukar untuk ditanggalkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan