Isnin, 11 Jun 2007

Sebermula....April 1941
WW2 Di Asia Pasific


Tarikh 4 April 1941 - Aku pilih untuk mulakan naratif ini. Hari itu tanggal 4 April saorang bayi lelaki telah dilahirkan di Tanjung Bayan. Malang sekali kelahiran bayi lelaki itu tidak sempurna, kerana terdapat masaalah 'tersangkut uri'. 2 hari 1 malam Emak bertarung nyawa melahirkan Aku. Maka itu bulan April tetap menguja keperhatinanku mengenang kembali segala jasa dan pengorbanan Emak.  Bulan April, berupa bulan istemewa bagiku. 


Sebagai rekod tidak banyak yang boleh ku catat untuk tarikh 4 haribulan April 1941 yang Aku pilih ini; selain dari sekelumit data berkenaan diriku, keluarga ku dan nama kampung kelahiranku. Pun bagitu tarikh ini berupa titik permulaan pada pengkesahan babad[1] diriku. Sah tercatat pada sijil kelahiranku bahawa Aku di lahirkan dalam tahun 1941 pada 4hb.April di Kampung Tanjung Bayan. Nama ibuku Jariah binti Haji Ali. Nama bapaku Abas bin Mohammad Amin. 


Aku anak yang ke-empat pada keluarga yang serba sederhana ini. Emak keturunan Bugis. Dia anak tunggal dari salah saorang dari 4 isteri datuk ku Haji Ali. Menurut ceritanya, Emak dibesarkan piatu. Ibunya telah meninggal dunia semasa melahirkan Emak. Saterusnya Emak telah dipelihara oleh ibu saudaranya bernama Zaharah -saorang ibu tunggal di Kunci Air Mati, Kampung Sungai Lancang. Letaknya dalam kawasan lidah tanah Rezab Melayu dipersisiran Selat Melaka antara kuala Sungai Bernam dan Sungai Perak. 


Aku tidak bagitu pasti keturunan bapaku. Melalui penyelidikan yang tidak seberapa aku yakin keluarga ayahku keturunan Rawa di sabelah ibunya dan Riau di sabelah bapanya.


Aku lahir ditengah bahang gelodak Peperangan Dunia Ke-2 yang sedang mengarah ke Asia Pasifik. Kakakku yang sulung, perempuan. Namanya Salmah. Abangku, anak kedua namanya Saharuddin. Anak ketiga Mohammad. Mohammad telah meninggal dunia semasa bayi. Menurut ibuku Mohammad saorang bayi yang berpenyakit, ketika dilahirkan. Tidak pula diketahui jenis penyakit menyebabkan Mohammad meninggal dunia ketika masih bayi itu.


Masyarakat kampungku terdiri dari gulungan manusia yang terlalu daif dalam serba bidang pengetahuan. Mereka terhimpit menderita kerana kemiskinan dan kepayahan hidup zaman meleset untuk menyara diri dan keluarga. Penduduk kampungku rata-rata, buta huruf. Jikapun ada yang tau membaca atau menulis saperti Emak dan Bapak, mereka telah belajar cara sendiri-sendiri. Mereka tidak pernah bersekolah secara formal, kerana institusi sekolah tidak wujud dikebanyakkan kampong Melayu waktu itu. Jika pun ada, sekolah-sekolah itu didirikan oleh rakyat dengan harapan mengupah guru yang layak dan sanggup mengajar anak-anak mereka. Selalunya percubaan untuk mengenalpasti guru dikalangan penduduk tempatan tidak kesampaian. Akibahnya semangat untuk kampung mereka mempunyai Sekolah Rakyat sendiri terbantut - patah ditengah jalan. Jika adapun Sekolah-sekolah rakyat yang berjaya ditubuhkan ia hanya mampu mendidik murid-muridnya membaca dan menulis oleh guru-guru sambilan secara ‘upah seraya’[2] semata-mata.


Terdapat pula Sekolah Agama Rakyat di satengah negeri di Tanah Melayu. Sekolah-sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Pondok atau Madarsah, dikendalikan oleh Guru Ugama/Mualim yang terkenal dan beberapa Ustaz Pelatih. Institusi Pendidikan Sekolah Pondok saumpama ini terdapat di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Kebolehan membaca Al’Quran, pengetahuan ilmu asas agama, mahir membaca dan menulis jawi berupa pembelajaran di Sekolah Pondok. Di Sekolah Rakyat biasa, pembelajaran tertumpu pada kemahiran menulis dan membaca rumi/ Roman dan Ilmu Kira-kira. Kerana institusi Sekolah Rakyat atau Sekolah Pondok tidak banyak di kawasan Rezab Melayu itu dan merantau kenegeri yang jauh belajar di Sekolah Pondok, diluar dari keupayaan kebanyakkan keluarga kampungku, tidak heran jika rata-rata penduduk kampungku terdiri dari masyarakat buta huruf, miskin dan daif.


+++++


Emak yakin berpendapat bahawa bayi mereka Mohammad mati kerana sawan, tapi Bapak berpendapat Mohammad meninggal dunia disebabkan kemiskinan mereka.Kata Bapak, kemiskinan yang telah menyebabkan Emak mengandong bayi yang tidak subur.


Bidan Meriam mengakui pendapat Bapak. Katanya bayi itu didapati lemah semasa didalam kandungan lagi. Bidan Meriam telah perasan itu ketika dia melakukan upecara Lenggang Perut dan ketika beliau membetulkan kedudukan bayi dalam rahim ketika Emak sedang mengandung 6 bulan. 


Bidan Meriam mempunyai pendapat lain yang bersifat kebatinan. Bidan Meriam cuba menyakinkan keluargaku, bahawa selamanya tubuh Emak sedang cuba didampangi oleh semangat Saka[3] keturunan leluhur daripada sabelah ibunya. Emak adalah pewaris tubuh induk semangat saka aruah ibunya, dan jika tidak diterima dan dijaga sebaiknya Sang Saka akan merasuk induknya. Apabila dan jika itu berlaku, sangat sukar untuk dipulihkan. Nasihat Bidan Meriam. setuju atau tidak kerasukan Sang Saka itu perlu diterima oleh Emak.


Untuk selamat mesti diadakan Acara Puja[4] pada tiap kali Emak mengandung. Boleh disamakan dengan Upecara Lenggang Perut. Sebaiknya dimalan bulan Purnama, semasa air pasang penuh. Ritual itu perlu dilakukan dengan cara dan persediaan yang sangat rapi. Bermula dengan tubuh Emak dilangir dan dibersihkan. Dialin dengan lilin yang dihasil dari campuran sarang lebah, diolek dan dirimbas dengan bunga mayang mengurai, diperasap dengan membakar dupa - kemian atau stanggi, diringi dengan bacaan mentera. Saterusnya Emak dijamu daging Ayam Selasih[i][5], pulut kuning, pisang dan bertih. Kemundian sebahgian daging panggang ayam selasih itu bersama sabungkus pulut kuning, beras bertih, sireh pinang, dan pisang masak ranum akan dimuatkan kedalam Limas[6], bentuk timba atau takir diperbuat dari upeh pinang. Limas itu hendaklah dilepaskan sungai ketika ‘air pasang penuh’ sedang mula bergerak surut dalam cahaya purnama 15. Siang esoknya Emak dan keluarga saisi rumah disyaratkan berpantang dengan mengurung diri. Tidak boleh dilawati atau berhubung dengan orang luar sahingga matahari tinggi segalah dan embun kering dibumi. Sakiranya syarat pantang itu dilanggar, upecara yang sama perlu diadakan samula, pada bulan purnama yang akan datang.’


Tradisi Puja adalah amalan kuno yang lumrah dilakukan pelbagai etnik kaum, warisan bangsaku dari gugusan kepulauan Nusantara.

Anak lelaki tertua dalam keluarga leluhur[7] menurut adat warisannya, dia dikenali sebagai Waris Ahli pewaris Saka Baka - kedudukan pangkat tertinggi dalam keluarga itu. Ia berupa warisan dari cantuman semangat pihak ibu dan pihak bapa. Keris atau senjata puaska keturunan berupa peralatan keluarga yang akan diturunkan secara beradat kepada penerima anak lelaki, apabila dia akhir baligh. Anak perempuan sulung pula diiktiraf sebagai bakal induk mewarisi saka leluhur keturunan sabelah emak. Biasanya di turunkan dengan melakukan Puja di satu upecara Lenggang Perut apabila dia mengandungkan anak sulung, dan jika ini tidak dilakukan semangat saka itu akan merasuk tubuh induk barunya secara paksa, salepas kematian pewaris terakhir. Induk barunya itu perlu menerima dan saterusnya menyara semangat saka itu melalui pelbagai tuntutan upecara pulih semangat yang ditentukan, biasanya oleh para Bomoh atau Tok Pawang. Jika engkar melakukannya, semangat saka itu akan bertindak menyakat dengan mengusik mangsanya supaya jadi takut, menghidapi tekanan emosi, menangis tidak menentu, kesihatan yang terganggu dan sebagainya. Kakakku Salmah adalah anak perempuan sulung keluargaku. Emak juga anak tunggal dan anak perempuan sulung keluarganya. Sewajarnya Emak mewarisi semangat saka leluhur daripada sebelah emaknya. Wajarlah jika kakakku Salmah, pewaris bakal tubuh induk untuk diganding turunan saka keturunan Emak.


Menurut ceritanya, keluargaku sedia maklum akan tuntutan itu, tapi sengaja tidak dilakukan. Mereka berpendapat segala itu sebagai tahyul dan karut marut. Upecara Puja dan Lenggang Perut adalah amalan dari pengaruh budaya Hindu. Islam tidak mengalakkan melakukan upecara yang bersifat tahyul dan kurafat.


Lagipun menurut mereka ketika Salmah dalam kandungan, kesempitan hidup keluargaku, tidak memampukan dilaksana tuntutan Puja dan Lenggang Perut waktu itu. Terlalu banyak syarat dan kerenah pantang larang dan yang mesti dipatuhi, sabelum, semasa dan salepas Upecara Puja dan Lenggang Perut dilaksanakan.


Kebersihan, ketertipan, ketulinan semua peralatan yang digunakan, berupa tuntutan syarat yang sangat remeh. Umpamanya ayam Selasih, samestinya ayam dara. Di pelihara sebaiknya sabelum disembelih. Hendaklah dikurung dalam reban berasingan, diberi makanan beras dan jagung, diberi minum air suling, dan dimandikan satiap hari sakurangnya satu purnama sabelumnya. Bulunya mesti hitam pekat, tidak dicampuri walaupun secalit warna lain. Kulit dan daging termasuk kuku, paruh, rahang dan lidah semuanya mesti berwarna hitam. Sesikat pisang emas yang mestikan dari tandan yang masak dipokok, dan tidak disisa burung, tupai, musang atau haiwan lain. Persediaan makanan dan peralatan mesti bersih, dan patuh pada pantang larang. Bagitu saterusnya dengan segala persembahan, mesti hinder dari sebarang kekotoran, bekas sisi manusia atau haiwan dan pencemaran.


Kuching peliharaan dan kanak-kanak kecil hendaklah dipindahkan ketempat lain, kuathir akan menlanggar pantang. Sepanjang upecara dilakukan hanya keluarga yang terdekat sahaja dibenarkan hadhir, kecuali Bomoh dan saorang pembantunya. Upacara Puja dan Lenggang Perut dilakukan oleh Mak Bidan juga saorang Bomoh.


Menurut Bapak, ketika Emak mengandungkan Salmah telah tidak diadakan Puja dan Lenggang Perut tetapi isterinya telah selamat melahirkan bayi perempuan yang sihat. 


Hujjah mereka pula, munkin ada sebab tersembunyi sakatan Sang Saka tidak berlaku kepada ibuku dan bayi yang dilahirkannya. Mereka beri alasan Salmah anak sulung perempuan. Salmah adalah bakal pewaris sebagai tubuh induk saka leluhur Emak. Kelahiran Salmah munkin dialukan. Saperti Emak, Salmah anak perempuan sulung. Dialah induk penganti saka Emak kelak. Mereka berkali-kali bertegas untuk kelahiran saterusnya Emak mesti melalui Upecara Puja dan Lenggang Perut. Mereka beri amaran, jika tuntutan Sang Saka tidak diikuti sesuatu yang tidak diingini akan berlaku kepada ibu atau bayi yang akan dilahirkan. Pun keluargaku tetap berkeras, dan mau melupakan tradisi warisan itu. Nasihat dan amaran Pawang dan Bomoh itu telah dilupakan bagitu saja.


Malang sekali, lumrah bagi keluargaku dan penduduk kampungku, selalu tenggelam punca apabila berhadapan situasi genting dan yang mencemaskan yang membabitkan Pawang atau Bomoh mengadakan pemujaan yang mereka angap sebagai perkara tahyul itu. Tapi dek kerana jahil dan mundur mereka juga tidak dapat mengesahkan jenis penyakit yang menyebabkan kematian Mohammad itu ‘secara klinikal’, selain dari terpaksa akur pada pendapat dan kahendak Tok Pawang dan Bomoh, kerana pada zaman itu tidak ada doctor yang boleh dirujuk. Soalnya bolehkah keluargaku bertahan dengan terus berdegil mengenepikan desakan Tok Pawang dan Bomoh berhubungan tuntutan adat pusaka yang karut marut itu.


Di zaman meleset rakyat dibendung kemunduran. Kematian bayi yang baru dilahirkan selalunya di kaitkan dengan perkara-perkara tahyul. Bagitu pula dengan kematian ibu semasa bersalin. Kesah hantu Langsuir senantiasa dahagakan darah ibu yang melahirkan anak, atau hantu Polong terbang diwaktu malam mencari mangsa sengaja diada-adakan sebagai kisah ngeri yang menakutkan ramai. Cerita bagini senang di sebarkan oleh Tok Pawang dan Bomoh. Penduduk akan percaya percaya pada cerita hantu dan jembalangan meliar disekeliling kampong mereka pada waktu malam mencari mangsa itu. Purata penduduk kampong akur fungsi pada fungsi Tok Pawang, Bomoh dan Mak Bidan sebagai perantara antara jin dan manusia pada segala masaalah kesihatan keluarga.


Abangku Saharuddin, walaupun selamat dilahirkan didapati mengidap pelbagai penyakit ganjil sejak dilahirkan. Cuma dia sempat membesar hingga berumor 4 tahun. Sempat untuk menyabut kelahiran aku adiknya salepas aruah Mohammad meninggal dunia. Menurut ibuku walaupun Saharuddin selalu sakit dia sangat pemanja, suka bermain dengan aku adiknya dan sangat dimanjakan kakaknya Salmah. Saharuddin di percayai sering di disakat hantu saka. Dia sering menangis tidak menentu. Walaupun pada pengamatan keluargaku Saharuddin menangis disebabkan rasa tidak selesa kerana perutnya membuncit dan kerap kembung, atau tubuhnya kurus kering disebabkan kekurangan zat makanan, tetapi Tok Pawang dan Bomoh tetap berpendapat bahawa idapan penyakit itu terhasil dari kesan rasukan saka leluhur ibunya.


Peperangan Dunia Ke2 sudah sampai ke Timur Jauh. Tanah Melayu secara langsung terperangkap dalam gelodak peperangan itu apabila Tentera Imperial Jepun mula menduduki Tanah Melayu dan berkuasa di Asia dan Pasifik. Peperangan telah membuatkan rakyat Tanah Melayu menghadapi ancaman kebuluran. Makanan sukar didapati. Ubikayu, keladi dan pisang; ganti nasi. Walaupun ikan bolih diperolehi dari Sungai Bernam, tetapi beras dan keperluan lain tidak ada dipasar. Jika adapun ia dijual secara Pasar Gelap.
Untuk menampung kegetiran hidup di zaman Jepun, keluargaku dan penduduk kampungku mengerjakan tanah terbiar untuk dijadikan sawah padi. Walaupun sawah padi mereka subur, tetapi ia menghadapi ancaman burung, tikus, binatang buas dan banjir air masin bermusim dari Selat Melaka. Ketika tidak bersawah padi, keluargaku bertanam ubi, pisang dan jagung.


Ketika aku dilahirkan ibuku hampir maut, kerana tersangkut uri. Tidak ada klinik atau hospital untuk masaalah kelahiran aku itu dapat dirujukkan, kecuali berdoa kepada Allah akan keselamatan ibu dan bayi. Dua hari satu malam ibuku dalam keadaan demikian. Akhirnya ibuku telah selamat melahirkan aku pada subuh hari Ahad. Aku saorang bayi yang sihat dan montel, cahaya mata yang paling berharga kepada pasangan Abas dan Jariah yang telah kehilangan saorang anak lelaki itu. Apabila abangku Saharuddin meninggal dunia ketika berumor 4 tahun dan umor ku belumpun mencapai genap setahun, ayah dan ibuku kini tinggal hanya saorang sahaja anak lelaki, ia-itu aku. Aku telah dimanjakan dan dijaga dengan penoh kasih sayang.


Masaalah ibuku sangkut uri ketika melahirkan aku, hampir menemui maut, memperkuatkan lagi hujjah Tok Pawang dan Bomoh ia adalah angkara saka leluhur ibuku. Ayahku dan keluarganya tidak dapat bertahan. Mau ta’mau mereka terpaksa akur pada nasihat Bidan Meriam, jika ibuku mengandung lagi, tuntutan semangat saka tubuh badannya hendaklah dituruti, untuk keselamatan dirinya dan bayi yang akan dilahirkanya. Bidan Meriam sebagai Bomoh Puja dan Lenggang Perut saterusnya diangkat sebagai Bidan Tempah. Nasihat beliau segera dirujuk apabila ibuku mengandung samula.


Saterusnya saperti yang diceritakan ibuku dan kemundian pada pengamatan aku sendiri, kelahiran 4 adik-adikku Miah, Lijah, Zainal dan Biah, ibuku terpaksa melalui upecara Puja dan Lenggang Perut kononnya untuk memenohi tuntut saka leluhur nenek moyangnya itu.






Instalment Akan Datang
‘Kesan Parut Luka’








[1] Babad: sejarah, riwayat ( chronicle )
[2] Upah Seraya: bertolong bantu mengerjakan sesuatu dengan upah ta’seberapa.
[3] Saka/Sang Saka: semangat tubuh keturunan, di turunkan dari ibu kepada anak perempuan sulungnya, melalui upecara Puja & Lenggang Perut ketika mengandungkan anak pertama.
[4] Puja/Poja: upecara penghormatan kepada dewa-dewa. (kurafat/tidak terdapat dalam ajaran Islam) .
[5] Ayam Selasih: sajenis ayam keseluruhan bulu dan dagingnya berwarna hitam.
[6] Limas: satu bentuk timba atau takir di perbuat dari upeh pinang.
[7] Leluhur: nenek moyang

Tiada ulasan:

ANAK TANJUNG BAYAN

Membesar di Resab Melayu ditengah masyarakat yang daif.

Mengenai Saya

Foto saya
Zodiac:Aries.A Senior citizen. Borned into the hardship of the Japenese Occupation in Malaya 1941-1945.